Pakatan akan baiki kelemahan selepas kalah Semenyih, kata Mukhriz


Diyana Ibrahim Noel Achariam

Calon BN Zakaria Hanafi kini Adun Semenyih selepas berjaya merampas kerusi DUN itu daripada Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Mac, 2019.

KEKALAHAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah isyarat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memperbaiki kelemahan gabungan politik itu, kata Naib Presiden Mukhriz Mahathir.

Bagaimanapun kekalahan kedua PH selepas PRK Parlimen Cameron Highlands ini bukan tanda rakyat menolak kerajaan, katanya, yang juga timbalan presiden Bersatu.

“Memang sudah menjadi kelaziman bila ada PRU (pilihan raya umum) atau PRK akan ada ketika menang dan kalah, jadi itu mesti kita terima hakikat itu.

“Kita sudah cuba sedaya yang mungkin untuk (beri) penerangan di sini tapi rakyat lebih tahu apa pilihan mereka, jadi kita memang terima keputusan dengan hati yang terbuka,” katanya kepada media di Bilik Gerakan Utama Bersatu di Semenyih, malam ini.

PH gagal mempertahankan kerusi DUN Semenyih apabila calonnya Muhammad Ainam Zainali kalah kepada calon BN, Zakaria Hanafi dengan majoriti 1,914 undi.

Dalam keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pukul 9.25 malam, Zakaria mendapat 19,780 undi manakala calon Aiman 17,866 undi, membolehkan BN menang dengan majoriti 1,914.

Dua calon lagi iaitu Nik Aziz Afiq Abdul dari PSM mendapat 847 undi dan calon bebas Kuan Chee Heng mendapat 725 undi.

Menurut Mukhriz, PH akan membuat kajian terperinci punca kekalahannya di Semenyih.

“Buat masa ini kita belum buat satu kajian terperinci mengenai keputusan kawasan, saluran dan sebagainya tetapi secara umumnya ada beberapa isu yang telah dibangkitkan yang mana saya tak boleh salahkan rakyat sebab rakyat buat pilihan,” katanya.

Barisan Nasional menang untuk kali kedua berturut-turut selepas menang di Cameron Highlands Januari lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Mac, 2019.

PRK DUN Semenyih adalah yang keenam sejak PRU14 pada Mei tahun lalu, dan yang keempat bagi kerusi negeri Selangor.

Ini juga PRK pertama yang BN berjaya merampas kerusi daripada PH. BN juga menang mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands akhir Januari lalu.

Dalam tiga PRK di Selangor sebelum ini – Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia – PH mengekalkan kemenangannya.

PH juga menang PRK Parlimen Port Dickson yang menghantar Presiden Anwar Ibrahim ke Parlimen.– 2 Mac, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen