SURUHANJAYA Pilihan Raya mengumumkan calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi sebagai pemenang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih dengan majoriti 1,914.
Kemenangan ketua Umno Hulu Langat itu diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya Mohd Sayuthi Bakar kira-kira pada pukul 9.25 malam di pusat pengiraan undi SPR di Dewan Sri Cempaka di Saujana Impian, Kajang.
Dalam pengiraan akhir SPR, Zakaria mendapat 19,780 undi manakala calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali mendapat 17,866 undi, calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul 847 undi dan calon bebas Kuan Chee Heng mendapat 725 undi.
PRK Semenyih adalah yang keenam sejak PRU14 pada Mei tahun lalu, dan yang keempat bagi kerusi negeri Selangor.
Ini juga PRK pertama yang BN berjaya merampas kerusi daripada PH. BN juga menang satu PRK kerusi Parlimen iaitu di Cameron Highlands akhir Januari lalu.
Dalam tiga PRK di Selangor sebelum ini – Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia – PH mengekalkan kemenangannya.
PRK Semenyih diadakan selepas bekas wakil rakyat Bakhtiar Mohd Noor (PH-Bersatu) meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Pada PRU14, Bakhtiar menang dengan majoriti hampir 9,000 undi mengalahkan Umno, juga dalam pertandingan empat penjuru yang disertai dua calon lain dari PAS dan PSM.
PAS tidak menyertai PRK Semenyih sebaliknya memberikan sokongan kepada Umno.
Setiausaha PAS Takiyuddin Hassan dalam reaksinya malam ini berkata kemenangan BN petanda baik ke arah penyatuan umat Islam dan bangsa Melayu.
“Formula ini kita akan teruskan sehingga PRU15,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 2 Mac, 2019.
Komen