ALIM ulama Nahdlatul Ulama (NU) menggesa pertubuhan itu untuk tidak lagi menggunakan istilah “kafir” bagi merujuk kepada rakyat Indonesia yang bukan beragama Islam kerana mereka adalah warganegara, lapor media di republik itu.
Gesaan itu adalah antara lima usul yang dikemukakan kepada NU hasil perhimpunan kebangsaan alim ulamanya yang berakhir semalam.
Abdul Moqsith Ghazali, yang memimpin salah sebuah jawatankuasa mesyuarat, berkata para ulama yang bersidang berpendapat istilah kafir menyakiti rakyat senegara yang bukan beragama Islam.
“(Ia) dianggap mengandung unsur kekerasan teologis, kerena itu para kiai menghormati untuk tidak gunakan kata kafir tapi ‘muwathinun’ atau warga negara, dengan begitu status mereka setara dengan warga negara yang lain,” katanya, seperti dipetik Tempo.
Beliau bagaimanapun menjelaskan penolakan istilah kafir kepada warga Indonesia bukan beragama Islam bukan bermakna NU menolak perkataan kafir yang dipakai dalam Al-Quran atau hadis.
Dalam reaksinya, Front Pembela Islam (FPI), sebuah badan berpemikiran aliran keras, mengkritik cara berfikir NU yang disifatkan sebagai menyesatkan.
Jurucakap FPI, Munarman berkata istilah kafir sudah ada sejak ribuan tahun malah sebelum Indonesia merdeka dan ia tidak pernah jadi masalah.
“Tiba-tiba saja (jadi masalah) bagi sebahagian kecil hamba Allah yang membahas, malah menempatkan diri sebagai penentang Allah. Berani sekali mereka,” katanya, seperti dipetik Tempo.
Munarman menjelaskan istilah dan konsep kafir bukan menganjurkan kebencian atau diskriminasi sebaliknya merupakan ajaran dalam Islam merujuk pada kelompok manusia yang menolak Islam.
NU ialah kumpulan Islam terbesar di Indonesia yang didirikan sejak akhir 1920-an, dan cenderung menganjurkan Islam yang ramah sesuai dengan nuansa Nusantara.
Perhimpunan yang bermula Rabu lalu dibuka rasmi oleh Presiden Joko Widodo di sebuah sekolah pondok di Kota Banjar, Jawa Barat.
Mesyuarat alim ulama itu turut mengemukakan usul atas beberapa perkara lain menyentuh politik, ekonomi dan alam sekitar.
Antaranya, ia mahu isu sampah plastik ditangani sesuai dengan budaya setempat. Ia juga merumuskan bisnes multi level marketing (MLM) sebagai haram sama seperti skim piramid dan ponzi yang melibatkan unsur penipuan.
Mengenai pemilihan presiden Indonesia April ini, mesyuarat itu mengusulkan agar NU tidak memulaukan pilihan raya kerana ia boleh menjejaskan demokrasi Indonesia. – 2 Mac, 2019.
Komen