KUMPULAN hak asasi mengecam Arab Saudi atas keputusan negara itu membicarakan aktivis wanita selepas menahan mereka hampir setahun tanpa pertuduhan.
Pendakwa raya pada Jumaat berkata aktivis itu sudah dihadapkan ke mahkamah, kerana siasatan baharu sahaja selesai.
Ada tahanan yang disiksa dan diganggu seksual ketika soal siasat, selepas mereka ditahan Mei tahun lepas dalam operasi besar-besaran mengekang aktivisme.
“Pihak berkuasa Arab Saudi tidak melakukan apa-apa terhadap tuduhan serius berlakunya penyiksaan,” kata Michael Page, timbalan pengarah Timur Tengah untuk Human Rights Watch.
“Sekarang, aktivis wanita ini, bukan penyiksa mereka, yang berdepan pertuduhan jenayah dan dibicarakan.”
Berpuluh orang aktivis ditahan hanya sebulan selepas keputusan bersejarah membenarkan wanita memandu.
Mereka dituduh mengancam keselamatan dan membantu musuh negara. Sebahagian mereka kemudiannya dibebaskan.
Amnesty International berkata pengumuman Jumaat lalu itu adalah “petunjuk mengejutkan tentang usaha penekanan terhadap aktivis” dan menggesa “pembebasan segera tahanan politik.”
Perbicaraan di negara ultra konservatif itu sering berlaku penuh sulit dan rahsia.
Pendakwa raya tidak menyatakan pertuduhan ke atas aktivis wanita tersebut mahupun tarikh bicara.
Tetapi, pengumuman itu juga mencetuskan spekulasi yang aktivis mungkin dibebaskan dengan perbicaraan hanyalah proses birokrasi, selepas operasi menekan penentang di negara itu mencetuskan kecaman hebat ke atas Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
“Ada proses perundangan yang sedang bergerak dan saya fikir ia akan berakhir dengan baik,” kata Ali Shihabi, pengasas badan pemikir pro kerajaan, Yayasan Arabia di Twitter.
“Biar kita tunggu keputusan dan kemudian hakimi, jangan buat kesimpulan terburu-buru.”
Antara yang ditahan termasuklah Aziza al-Yousef, seorang profesor Universiti Raja Saud, Riyadh yang sudah bersara.
Seorang lagi aktivis terkenal yang ditahan ialah Loujain al-Hathloul, yang ditahan lebih 70 hari pada 2014 kerana cuba memandu dari negara jiran Emiriah Arab Bersatu ke Arab Saudi.
Susulan penahanan mereka, akhbar pro kerajaan menerbitkan berita muka depan dengan gambar aktivis terpampang perkataan “pengkhianat” di muka mereka.
Loujain adalah salah seorang aktivis yang berdepan gangguan seksual dan disiksa ketika soal siasat, kata keluarganya dan kumpulan hak asasi.
Kerajaan Saudi menafikan dakwaan itu. – AFP, 2 Mac, 2019.
Komen