BEKAS pelajar ijazah sarjana Siti Noor Aishah Atam yang ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) baru-baru ini, berhadapan bahaya diculik pengganas kerana mengetahui terlalu banyak tentang aktiviti mereka, dedah sumber perisikan.
Menurut pegawai perisikan, Siti Aishah bagaimanapun tidak menyedarinya.
Pengganas, Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi, pengajar kumpulan militan, mahu mendapatkannya walau dengan apa jua cara.
Pada mulanya, beliau berkunjung ke rumah keluarganya di Dungun, untuk meminang Siti Aishah. Dia ingin menjadikan Siti Aishah sebagai isteri keduanya, tetapi orang tuanya menolak kerana Muamar Gadaffi, bapa kepada dua anak, dan rakannya “biadab.
Sumber berkata, kejadian ini berlaku pada 2014 dan tidak lama selepas peminangan itu ditolak, keluarganya mula menerima ancaman bunuh.
The Malaysian Insight melaporkan Muamar Gadaffi mengancam mencederakan keluarga Siti Aishah jika mereka memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai pertemuan itu.
“Oleh kerana itu, saya membuat laporan pada 2014 tentang mereka. Tetapi ia tidak ada kena mengena dengan anak perempuan saya,” kata Atam Jusoh kepada The Malaysian Insight pada 4 April.
Siasatan juga mendedahkan selepas peminangan itu ditolak, rancangan seterusnya tindakan adalah menculiknya.
Menurut sumber perisikan, Muamar Gadaffi mahu menculik Siti Aishah kerana menganggap beliau mempunyai banyak maklumat berkaitan aktivitinya dan perekrut IS Dr Mahmud Ahmad.
Siti Aishah berkenalan dengan Muamar Gadaffi yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak melalui Facebook semasa Mahmud menjadi pensyarahnya di Universiti Malaya (UM).
“Dia dan suspek pengganas dikehendaki, Mahmud merancang menculik Siti Aishah kerana mengetahui terlalu banyak perkara,” kata sumber itu.
“Muamar Gadaffi yang ditahan dan didakwa pada 2014 juga memainkan peranan penting dalam pengambilan dan latihan IS bagi rakyat Malaysia sebelum ditangkap.”
Muamar Gadaffi kini menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana memberi latihan ketenteraan kepada rekrut Islamic State (IS) di Kuala Kangsar pada 2014.
Perekrut militan berusia 30 tahun yang juga dikenali dengan nama Fatani @ Iskandar Zulkarnain memainkan peranan serius pertama dalam militan apabila dilantik sebagai penasihat dalam Briged Al-Jamaah (BAJ), sebuah pertubuhan pelampau pada 2013.
BAJ merancang serangan ke atas kelab malam dan sebuah kilang bir di Lembah Klang.
Rancangan ialah untuk melancarkan serangan sebelum anggotanya meninggalkan negara ini untuk berjuang bersama-sama militan IS yang lain di Syria.
Kumpulan itu juga bertanggungjawab membuat senjata api dan peluru sendiri serta latihan tempur juga diberikan kepada yang ingin berjuang di Syria.
Sumber itu menambah kumpulan BAJ menjalankan latihan di Gunung Arang Para di Kuala Kangsar pada Disember 2013.
Berikutan maklumat, polis menahan beberapa suspek pengganas termasuk ahli Rela dan merampas senapang buatan sendiri bersama 344 peluru dalam operasi anti-militan pada 2014.
Siti Aishah dan Muamar Gadaffi bertemu di Facebook pada 2014 dan melaluinya Muamar Gadaffi mengenali Mahmud, kata sumber perisikan.
Muamar Gadaffi semasa itu menyertai Arakan Daulah Islamiah (ADI) di bawah kepimpinan Mahmud.
Selepas bergabung, Muamar Gadaffi dan Mahmud pergi ke selatan Filipina melalui Sandakan untuk memulakan rangkaian pengganas baru.
Sementara Mahmud terus bersembunyi di dalam Filipina, Muamar Gadaffi cuba menyelinap masuk ke Malaysia pada 2014 sebelum ditahan pihak polis.
Menurut sumber, ADI bergabung dengan kumpulan militan Abu Sayyaf dan Muamar Gadaffi bersama Mahmud berikrar kesetiaan mereka kepada pemimpin IS, Abu Bakr Al-Baghdadi.
Sebelum ditangkap pada 2014, Muamar Gadaffi ditangkap oleh polis kerana kesalahan dadah pada 2011.
Muamar Gadaffi didakwa di mahkamah kerana aktiviti keganasan dan dijatuhi hukuman lima tahun penjara pada Februari 2016 selepas didapati bersalah memberi latihan ketenteraan kepada rekrut baru IS.
Pada April 2016, Mahkamah Rayuan meningkat hukuman penjaranya kepada 15 tahun.
Sementara itu, Siti Aishah baru-baru ini menjadi tajuk utama media massa apabila ditahan kerana didakwa memiliki 12 buah buku berkaitan keganasan.
Dia juga pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) tahun lepas, pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskannya kerana memiliki semua buku itu.
Bekas pelajar jurusan Usuluddin (Pengajian Islam) di UM itu berkata dia menggunakan buku berkenaan bagi penyelidikan ijazah sarjananya.
Mahkamah Tinggi mendapati tiada kes prima facie dan membebaskannya. Selepas penahanan POCA, Siti Aishah dijatuhi hukuman tahanan rumah, dengan peranti pengawasan elektronik (EMD) dipasang padanya sebelum ditangkap semula pada 27 Mac. – 8 April, 2017.
Komen