Syarikat tembakau diarah bayar RM47.5 bilion kepada perokok di Quebec


Imperial Tobacco Canada, anak syarikat British American Tobacco, Rothman Benson & Hedges dan JTI-MacDonald mempunyai masa sebulan untuk merayu kepada Mahkamah Agung Kanada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2019.

MAHKAMAH Rayuan Quebec semalam mengekalkan penghakiman mengarahkan tiga syarikat tembakau membayar C$15.5 bilion (RM47.5 bilion) kepada perokok di kawasan Kanada itu yang mendakwa mereka tidak pernah diberi amaran risiko kesihatan kerana merokok.

Imperial Tobacco Canada, anak syarikat British American Tobacco, Rothman Benson & Hedges dan JTI-MacDonald mempunyai masa sebulan untuk merayu kepada Mahkamah Agung Kanada.

Pada Jun 2015, Mahkamah Agung Quebec mengeluarkan penghakiman yang tiga syarikat berkenaan perlu membayar jumlah ganti rugi besar itu kepada ribuan perokok yang menderita pelbagai penyakit seperti kanser paru-paru dan kanser leher.

Menurut laporan media, faedah terkumpul bayaran boleh mencecah lebih C$17 bilion.

Dua saman kelas diberikan ganjaran tersebut, yang pada mulanya difailkan pada 1998, melibatkan hampir sejuta perokok atau bekas perokok, sebahagiannya mula merokok sejak 1960-an. Perbicaraan hanya bermula pada Mac 2012.

“Kami kecewa dengan keputusan hari ini,” kata jurucakap Imperial Tobacco Canada Eric Gagnon kepada wartawan.

“Seperti mana penghakiman mahkamah rendah menunjukkan, pengguna tahu risiko berkaitan penggunaan tembakau. Kami tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan.”

Peguam kepada plaintif meraikan penghakiman bersejarah itu, menyifatkannya sebagai “karya agung”.

“Penghakiman mempunyai kesimpulan sama seperti mahkamah rendah, mengukuhkannya dan mengesahkan yang syarikat ini bersubahat selama 50 tahun menipu orang awam,” kata salah seorang peguam, Andre L’Esperance kepada wartawan.

“Ini adalah kejayaan mutlak, untuk semua,” tambah rakan peguamnnya Philippe Trudel.

Mahkamah rendah mengeluarkan penghakiman yang syarikat berkenaan gagal memenuhi tanggungjawab umumnya “untuk tidak menyebabkan kecederaan kepada orang lain” dan memaklumkan pengguna mereka tentang risiko berkaitan produk mereka. – AFP, 2 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen