SEORANG bekas wakil rakyat Turki dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua bulan semalam atas tuduhan membantu kumpulan yang dipersalahkan atas rampasan kuasa yang gagal pada 2016, lapor media tempatan.
Mahkamah di Istanbul mensabitkan Eren Erdem bersalah kerana “membantu organisasi pengganas bersenjata dengan sengaja dan sanggup tanpa menjadi ahli”, lapor stesen televisyen NTV.
Bekas ahli Parlimen Istanbul daripada parti pembangkang utama Republican People’s Party (CHP) itu ditahan Jun lalu kerana dikaitkan dengan pendakwah Islam berpangkalan di AS, Fethullah Gulen.
Turki mendakwa Gulen mengarahkan cubaan untuk menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 2016 tetapi dinafikan oleh pendakwah itu.
Ankara merujuk gerakan Gulen sebagai “Organisasi Pengganas Fethullah”.
Hukuman terhadap Erdem berkait dengan ketika beliau menjadi ketua pengarang akbar Karsi di mana beberapa rakaman audio terbocor kepada media oleh gerakan Gulen berhubung skandal membabitkan pegawai kanan kerajaan dan mereka yang dekat dengan Erdogan pada 2013.
Sejak 2016, puluhan ribu orang ditahan kerana dikaitkan dengan Gulen, termasuk pegawai tentera. – AFP, 2 Mac, 2019.
Komen