PRESIDEN Donald Trump berkata Korea Utara bertanggungjawab atas kematian seorang pelajar warga Amerika Syarikat (AS) yang mati akibat didera ketika berada dalam tahanan namun tidak menyebut nama pemimpin Kim Jong Un secara langsung.
Trump kembali mencetus kritikan meluas apabila memberitahu wartawan di sidang kemuncak bersama Kim di Vietnam bahawa beliau percaya pemimpin Korea Utara itu mendakwa tidak tahu apa yang berlaku ke atas Otto Warmbier ketika ditahan.
Pelajar berusia 22 tahun itu meninggal dunia beberapa hari selepas dihantar pulang ke AS dari Korea Utara dalam keadaan koma pada 2017.
“Sudah tentu bagi saya Korea Utara bertanggungjawab atas penderaan dan kematian Warmbier,” kata Trump di Twitter.
Trump bagaimanapun mendakwa media salah faham terhadap kenyataannya itu.
Terdahulu dalam satu kenyataan, ibu bapa Warmbier, Fred dan Cindy Warmbier berkata: “Jong Un dan rejimnya yang kejam bertanggungjawab ke atas kematian anak kami.” – AFP, 2 Mac, 2019.
Komen