PERTUBUHAN Bangsa-bangsa bersatu (PBB) menekankan pelarian yang lari daripada konflik perlu diberikan tempat selamat selepas Bangladesh mengisytiharkan ia tidak akan mengambil lagi Rohingya dari Myanmar.
Setiausaha Luar Bangladesh Shahidul Haque memberitahu Majlis Keselamatan PBB pada Khamis bahawa krisis pelarian bertambah buruk dan tidak ada seorang pun daripada ratusan ribu Rohingya yang mendapatkan perlindungan di negaranya, sudah kembali ke Myanmar.
“Bangladesh sangat bermurah hati dalam memberi sokongan kepada pelarian Rohingya,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric.
“Amat penting untuk mereka yang lari daripada konflik dapat mencari tempat selamat di mana pun mereka pergi.”
Dalam satu perjanjian dicapai dengan Bangladesh, Myanmar bersetuju mengambil balik sebahagian pelarian itu, tetapi PBB bertegas untuk jaminan Rohingya jika mereka pulang.
Haque memberitahu mesyuarat majlis itu tentang Myanmar bahawa “Bangladesh tidak mampu lagi menampung lebih ramai orang dari Myanmar”, dan berkata kerajaannya bersedia untuk menutup sempadan daripada pelarian.
Kira-kira 740,000 Rohingya beragama Islam tinggal di kem-kem di Bangladesh selepas mereka dihalau keluar dari utara Rakhine di Myanmar ketika kempen tentera pada 2017 di mana PBB menyifatkan ia sebagai pembersihan etnik. – AFP, 2 Mac, 2019.
Komen