SEORANG juruterbang yang ditembak jatuh pesawatnya dalam pertarungan dengan pesawat Pakistan, dihantar pulang ke India semalam, selepas dibebaskan di mana Islamabad menyifatkan itu sebagai “tanda keamanan” susulan pertikaian antara dua negara itu menemui jalan buntu.
Tetapi keganasan terbaru di Kashmir, dengan 11 terbunuh dalam kawasan pentadbiran India, menunjukkan ketegangan yang tercetus akibat kematian 40 tentera India dalam insiden bom bunuh diri bulan lalu, belum berakhir.
Juruterbang Komander Abhinandan Varthaman terhempas di Kashmir – di kawasan yang terpisah susulan permusuhan senjata nuklear sejak 1947 – kembali ke India menerusi pintu sempadan Wagah lewat semalam, dan kelihatan bengkak di matanya.
Kementerian Luar Pakistan berkata dia “dilayan dengan penuh kehormatan dan selaras dengan undang-undang antarabangsa”, dan pembebasannya bertujuan untuk meredakan ketegangan dengan India.
Ribuan rakyat India, mengibarkan bendera, menyanyi dan menari lagu patriotik, berkumpul di sempadan tetapi ramai yang pulang apabila pembebasannya ditangguhkan selama beberapa jam.
Ibu bapa Abhinandan diberikan penghormatan dengan semua penumpang dalam pesawat yang mereka naiki untuk ke Amritsar berhampiran Wagah berdiri, ketika dalam perjalanan menyambut kepulangan anak mereka.
Di India, pembebasan juruterbang itu dilihat sebagai kemenangan diplomatik tetapi New Delhi memberi amaran bahawa ketenteraannya kekal berjaga-jaga.
Pada Khamis dan Jumaat kedua-dua negara masih saling melepaskan tembakan, di sempadan yang memisahkan Kashmir, dengan empat terbunuh di India.
Mereka yang terkorban termasuk seorang ibu dan dua anaknya – ketika bom mortar terkena rumah mereka di daerah Poonch lewat malam semalam, kata polis. – AFP, 2 Mac, 2019.
Komen