BEKAS perdana menteri Najib Razak akan menyorok bawah meja jika Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih yang berlangsung pada hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai tanda keyakinan yang tinggi BN akan merampas semula kerusi yang mereka terlepas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu.
Najib berkata berdasarkan laporan diterimanya daripada jentera BN yang berkempen selama 14 hari, penerimaan rakyat terhadap BN semakin baik, jauh berbeza ketika PRU14 dulu.
“Hari esok (hari ini) kita akan julang BN. Saya sudah pakat dengan (Ketua Umno Bahagian Hulu Langat) Johan Abdul Aziz, dia ajak saya datang. Syaratnya kita menang. Menang saya datang, tak menang saya sorok bawah meja.
“Mood sehari dua ini saya lihat memihak kepada BN. Pastikan esok BN menang dengan besar. Kalau ada rezeki saya akan datang balik malam esok dengan kemenangan,” katanya menutup kempen PRK Semenyih di Taman Pelangi Semenyih malam tadi.
Semalam, badan penyelidik bebas Ilham Centre meramalkan BN mampu mengalahkan Pakatan Harapan (PH) terutamanya atas sentimen dan faktor pengundi Melayu.
Kajian Ilham Centre mendapati PH bergelut untuk mempertahankan undi pengundi Melayu seperti dalam PRU14, selain beberapa faktor lain yang juga tidak memihak padanya.

Bekas presiden Umno itu berkata hikmah kekalahan BN dalam PRU14 yang lalu adalah rakyat kini boleh membuat perbandingan parti mana yang mampu mentadbir kerajaan dengan baik dan menunaikan janji mereka.
“Tidak apalah kita sudah hilang kuasa sementara. Orang sudah faham. Rupanya bila orang dah kena kencing (tipu), dia lebih faham. Jangan memperbodohkan rakyat dengan janji tol percuma tengah malam.
“Takkanlah orang tipu kita, esok kita hendak sokong lagi?,” soalnya kepada kira-kira 1,000 hadirin yang menjawab “tidak”.
“Orang yang pandai dan kena tipu dengan orang yang kita tahu sekarang ini menipu, kita ini bodohlah. Kita tidak mahu jadi orang bodoh hari esok. Rakyat di Semenyih sudah pandai dan cerdik,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu juga mengingatkan pengundi bahawa kerajaan PH akan terus menekan rakyat dengan pelbagai kenaikan tarif dan cukai yang telah “disusun” seperti tarif air dan cukai tanah.
Najib berkata kemenangan PH hanya akan memberi gambaran kepada kerajaan bahawa rakyat tidak kisah sekiranya mereka terus ditipu dengan janji-janji yang tidak ditunaikan oleh kerajaan.
“Kalau kita bagi dia menang, nanti dia ingat menipu pun boleh menang. Kalau PH menang esok apa dia akan buat?,” soal Najib yang disambut “kencing” oleh hadirin.
“Dalam bentuk apa dia kencing? Tarif air akan naik 20% sebab dia beli Splash dengan harga 10 kali ganda. Yang kena kencing rakyat Selangor. Cukai tanah pun saya dengar akan naik juga,” katanya.
PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon muda PH Muhammad Aiman Zainali dengan Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng. – 2 Mac, 2019.
Komen