Filipina mahu dakwa pembuat vaksin denggi


Pada 2016, Filipina menjadi negara pertama menggunakan vaksin Dengvaxia dalam satu program imunisasi besar-besaran. Bagaimanapun, setahun kemudian, Sanofi mendedahkan yang vaksin itu akan memburukkan lagi simptom bagi individu yang tidak pernah dijangkiti virus denggi. – Gambar EPA, 1 Mac, 2019.

KERAJAAN Filipina hari ini berkata akan memfailkan dakwaan jenayah terhadap enam pegawai firma farmaseutikal Perancis, Sanofi Pasteur, berhubung kematian kanak-kanak yang disuntik vaksin anti denggi.

Pada 2016, Filipina menjadi negara pertama menggunakan vaksin Dengvaxia dalam satu program imunisasi besar-besaran. Bagaimanapun, setahun kemudian, Sanofi mendedahkan yang vaksin itu akan memburukkan lagi simptom bagi individu yang tidak pernah dijangkiti virus denggi.

Pendedahan itu mencetuskan panik di seluruh negara. Terdapat ibu bapa mendakwa anak mereka meninggal dunia disebabkan vaksin tersebut.

Malah ia turut mencetus ketakutan vaksin yang menurut kerajaan menjadi penyebab kepada wabak campak sehingga membunuh 203 kanak-kanak seperti yang dinyatakan oleh Tabung Kanak-kanak PBB.

Jabatan Kehakiman negara itu hari ini berkata pendakwa mempunyai asas untuk mendakwa kakitangan Sanofi atas dakwaan kecuaian hingga menyebabkan kematian. Bagaimanapun, tiada garis masa dimaklumkan.

Jabatan itu berkata tuduhan adalah berdasarkan siasatan terhadap kematian 10 kanak-kanak manakala aduan lain masih dalam siasatan.

Hukuman membawa kepada enam tahun penjara jika sabit kesalahan.

Sanofi semalam mengkritik keputusan Manila untuk memfailkan dakwaan dan menegaskan akan mempertahankan kakitangannya. – AFP, 1 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen