WALAUPUN tindakan sudah dikenakan terhadap seorang warga emas yang menyiarkan karikatur Nabi Muhamad SAW namun ia masih tidak mencukupi, kata orang Islam yang menyertai himpunan di Pulau Pinang hari ini.
“Masalahnya bukan seorang saja tetapi ramai lagi cuba menghina nabi,” kata Azdy Mohd Arshad ketika ditemui dalam perhimpunan untuk mempertahankan Islam di luar Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang selepas solat Jumaat tadi.
Azdy dari Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang merupakan salah seorang penceramah pada himpunan yang dihadiri kira-kira 200 orang itu.
Menurutnya, himpunan itu bagi memberi amaran kepada orang lain untuk tidak melakukan perkara sama.
“Beri perhatian polis. Jangan putar belitkan kenyataan kami. Kami tidak merusuh. Kami tidak menyuruh orang ramai untuk menyerang orang lain atau agama mereka.
“Kami di sini untuk pertahankan hak, agama dan nabi kami dari dihina. Kami tidak menentang kepercayaan lain,” katanya ketika ditahan polis yang memantau keadaan di himpunan itu.
Azdy berkata, satu memorandum dihantar kepada ketua menteri hujung minggu lalu oleh kumpulan Muslim tempatan yang meminta bantuan untuk membangkitkan isu berkenaan di Persidangan Raja-Raja.
“Kami mahu pihak berkuasa lebih berhati-hati terhadap isu seperti ini.
“Kerajaan juga perlu meningkatkan undang-undang sedia ada untuk membendung permasalahan ini. Penjara lima tahun tak cukup. Undang-undang perlu dikaji semula untuk kenakan hukuman lebih berat supaya insiden tidak berulang,” katanya. – 1 Mac, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen