Himpunan lebih besar jika kerajaan biarkan agama dihina, kata Pemuda Umno


SM Amin

Perhimpunan hari ini diadakan sebagai membantah beberapa insiden yang didakwa menghina agama Islam sejak kebelakangan ini. - Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Mac, 2019.

UMAT Islam akan mengadakan satu lagi perhimpunan lebih besar sekiranya kerajaan membiarkan agama Islam dan Nabi Muhammad terus dihina, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf berkata isu hina agama juga berlaku sewaktu Barisan Nasional (BN) menerajui kerajaan sebelum ini tetapi kerajaan pada ketika itu pantas mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kita berkumpul bukan kerana parti tetapi kita marah apabila nabi kita dihina sebegitu rupa. Dahulu pun ada tetapi kita ambil tindakan segera.

“Sekarang ini kita kena berhimpun, bercakap dahulu baru kerajaan hendak bertindak. Mana dia menteri agama? Ini nabi kita,” katanya ketika berucap pada perhimpunan di pekarangan Masjid Negara di Kuala Lumpur selepas solat Jumaat hari ini.

“Saya beri jaminan kalau masih ada tindak tanduk kalian yang memperkotak katikkan perasaan orang Melayu Islam, kita akan turun beramai-ramai. Kali ini lebih ramai daripada ICERD,” katanya merujuk perhimpunan membantah cadangan kerajaan meratifikasi konvensyen hak asasi antarabangsa pada 8 Disember lalu.

“Kita hendak beritahu kepada peguam negara, jangan pilih kasih,” tambahnya.

Perhimpunan hari ini diadakan sebagai membantah beberapa insiden yang didakwa menghina agama Islam sejak kebelakangan ini yang mengguris perasaan dan menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

Minggu ini, dua lelaki didakwa di mahkamah atas tuduhan menghina Nabi Muhammad.

Foo Sin Wai, 68, dan A Taneson, 22, didakwa berasingan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana memuat naik komen yang didakwa menghina agama itu di Facebook.

Mereka didakwa boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat atas alasan agama antara kumpulan orang beragama Islam dengan kumpulan orang bukan beragama Islam di seluruh negara.

Polis juga menyiasat satu kes lain yang didakwa berlaku pada 2013 tetapi tersebar semula di media sosial.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad yang turut hadir dalam perhimpunan hari ini memberi amaran kepada penganut agama lain supaya tidak terus menerus memperlekehkan agama Islam demi menjaga keharmonian di negara ini.

“Ramai orang bukan Islam boleh duduk harmoni di kampung Melayu, boleh meniaga dengan baik sebab kita diajar dengan agama.

“Kalau kami boleh hormat kamu, kamu juga perlu hormat kami. Kita tidak suka kacau orang,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat meminta semua umat Islam bersatu untuk kekuatan Islam. – 1 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen