ALAT amaran awal tsunami dan sistem kamera pantai yang dipasang di perkarangan Masjid Al-Kauthar di Tawau berfungsi dengan baik, kata Pegawai Meteorologi dari ibu pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia di Petaling Jaya, Sitti Norhaidah Basri.
Katanya, setiap tahun kerja penyelenggaraan dan pengujian sistem dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan sistem amaran awal itu jika berlaku bencana tsunami.
“Sistem ini dipasang di kawasan berkenaan bagi menyebarkan amaran tsunami kepada penduduk yang tinggal di kawasan persisiran pantai.
“Kita sentiasa memastikan peralatan ini berfungsi demi kepentingan masyarakat khususnya di kawasan pantai,” katanya selepas sesi menguji peralatan itu dilaksanakan hari ini.
Beliau berkata siren amaran itu boleh didengari penduduk yang tinggal antara 1km hingga 2km dari peralatan itu dipasang dan ia dikawal sepenuhnya, di ibu pejabat.
“Kami turut membuat pemantauan berkala terhadap siren seperti itu yang dipasang di daerah Semporna (2), satu di Kunak dan tiga di Lahad Datu,” katanya. – Bernama, 1 Mac, 2019.
Komen