PARA peguam yang terlibat dalam inkues bagi menyiasat kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, menyokong timbalan pendakwa raya (TPP) yang membantah prosiding itu ditangguhkan.
Jawatankuasa Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman sedang berusaha merayu supaya inkues tersebut ditangguh kerana mahu menjadi pihak berkepentingan dalam inkues.
Inkues yang sudah 12 hari berlangsung dan mendengar keterangan dari 19 saksi itu, melibatkan wakil-wakil dari Jabatan Peguam Negara, peguam-peguam mewakili keluarga Adib dan seorang peguam pemerhati bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
TPP Hamdan Hamzah memberitahu Koroner Rofiah Mohamad Mansor semua peguam yang terlibat dalam inkues berkenaan sebulat suara membantah permohonan penangguhan tersebut.
“Peguam-peguam secara sukarela menyokong bantahan penangguhan,” kata Hamdan.
Beliau juga berkata Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan tersebut pada Isnin ini (4 Mac).
Koroner kemudian menangguhkan prosiding untuk hari ini. Inkues akan bersambung pada 19 Mac.
Ini bagi membolehkan Hamdan memfailkan afidavit bagi rayuan itu di Mahkamah Rayuan petang ini.
Minggu lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan jawatankuasa bertindak kuil untuk menangguhkan inkues menyiasat kematian Adib.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Umi Kalthum Abdul Majid menolak permohonan tersebut, dengan alasan inkues merupakan kepentingan awam. – 1 Mac, 2019.
MENYUSUL
Komen