Thailand harap India, Pakistan selesai konflik secara aman


Rabu lepas pihak berkuasa penerbangan awam Pakistan menutup ruang udara negara itu menyebabkan ribuan pelancong terkandas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi. - Gambar AFP, 1 Mac, 2019.

THAILAND menggesa India dan Pakistan menyelesaikan konflik antara mereka menerusi dialog yang konstruktif bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.

Kementerian Luarnya dalam kenyataan hari ini berkata, Thailand amat prihatin dengan peningkatan ketegangan antara dua negara.

“Thailand menggesa India dan Pakistan melaksanakan sekatan tindakan maksimum dan mengelak dari mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan. 

“Thailand menggesa kedua-dua pihak berusaha ke arah penyelesaian konflik secara aman menerusi dialog yang konstruktif,” katanya.

Ketegangan antara India dan Pakistan yang kedua-duanya memiliki senjata nuklear semakin meningkat sejak serangan ganas di Pulwama, Jammu dan Kashmir mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Rabu lepas pihak berkuasa penerbangan awam Pakistan menutup ruang udara negara itu kepada semua penerbangan komersil manakala India juga menutup sementara lapangan terbang di bahagian utara negara mengakibatkan beberapa penerbangan di batalkan, atau laluan penerbangannya dialihkan.  – Bernama, 1 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen