PEGUAM Muhammad Shafee Abdullah berkata beliau tidak pernah tidak menghormati mahkamah dan akan mencabar prosiding menghina mahkamah dikenakan terhadapnya yang difailkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas hari ini.
“Apa yang saya cakap hingga boleh dikatakan menghina? Saya nak tahu. Saya nak lihat dokumen itu. Saya nak cabar,” kata Shafee kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
“Kerana apa dia (Thomas) cakap setakat ini tidak benar. Semua berbalik semula padanya. Saya tidak takut kerana saya tidak pernah tidak menghormati mana-mana mahkamah.”
Pagi ini Thomas memfailkan permohonan hina mahkamah ke atas Shafee berkaitan kenyataan dibuat kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 7 Februari.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi, mendakwa Shafee melanggar Arahan 52 Peraturan Mahkamah 2012 dengan cara mahu mempengaruhi keputusan mahkamah dalam membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara untuk melepaskan tetapi tidak membebaskan Najib Razak berkaitan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Shafee memberitahu wartawan bahawa peguam bela Najib yang pada awalnya mahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mengendalikan kes SRC International mengenakan perintah “gag order”.
“Gag order itu bagi mencegah sesiapa mengulas kes itu terutama meritnya, seperti memberikan pendapat sama ada Najib atau saya sendiri bersalah atas tuduhan dikenakan.
“Kami yang minta dan kami pada awalnya mendapat kebenaran daripada Hakim Sofian (Abd Razak),” kata Shafee, merujuk kepada hakim yang mengendalikan kes itu sebelum ini.
“Peguam negara yang menentangnya. Dia datang ke mahkamah dan kata ini negara bebas, ada kebebasan bersuara, sesiapa boleh bercakap tentang mana-mana kes atau apa pun. Dia kata kami tidak mahu menjadi kerajaan yang menindas. Jadi kami mahu ia bebas.” – 1 Mac, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen