TIMBALAN Ketua Polis Thailand Jeneral Srivara Ransibhramanakul mengarahkan lebih ramai anggota polis ditempatkan di tiga wilayah sempadan selatan untuk memastikan keselamatan menjelang pilihan raya umum akan datang, lapor agensi berita Thailand (TNA).
Srivara berkata penempatan itu perlu bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar bermula dari pusat mengundi dibuka sehingga kertas undi selesai dikira.
Mengulas mengenai perkembangan terkini di wilayah selatan, timbalan ketua polis negara itu berkata setakat ini tiada sebarang aktiviti mencurigakan dilaporkan.
Selain memastikan keselamatan di pusat pengundian, polis juga akan membantu melancarkan lalu lintas bagi memastikan rakyat boleh menunaikan tanggungjawab mengundi.
Pengundian awal pada 17 Mac dan tarikh mengundi biasa pada 24 Mac, katanya.
Menurut Srivara, terdapat kira-kira 90 aduan berkaitan pilihan raya dan sebahagian membabitkan kelayakan calon dan perbuatan merosakkan serta menanggalkan poster kempen.
Sementara itu pengarah sokongan penyiasatan Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand memberi amaran kepada pengguna media sosial, supaya tidak melanggar undang-undang dengan membuat tuduhan tidak berasas, berita palsu dan ancaman. – Bernama, 1 Mac, 2019.
Komen