AS tawar AS$1 juta habuan buru anak Osama Laden


AS giat memburu Hamza bin Laden, anak bekas pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, yang dikatakan suspek merempuh bangunan Pusat Dagangan Dunia New York pada 2001. – Gambar AFP, 1 Mac, 2019.

AMERIKA Syarikat (AS) sedang giat memperhebatkan usaha memburu Hamza bin Laden, anak bekas pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, yang terkorban dalam satu misi rahsia oleh pasukan petugas khas AS di Abbottabad, Pakistan pada 2011.

Penolong Setiausaha Keselamatan Diplomatik AS Michael T Evanoff bersama Duta Besar dan Penyelaras bagi Memerangi Keganasan Nathan A Sales berkata demikian pada taklimat media di Jabatan Negara pada Khamis.

“Hari ini program ‘Rewards for Justice’, Jabatan Negara AS menawarkan ganjaran sehingga AS$1 juta kepada individu yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya pemimpin Al-Qaeda, Hamza bin Laden,” kata Evanoff.

Beliau berkata menerusi surat yang dilaporkan ditulis Osama yang dirampas semasa operasi di Abbottabad, mendedahkan beliau (Osama) sedang mempersiapkan Hamza menjadi penggantinya sebagai pemimpin Al-Qaeda.

“Sekurang-kurangnya sejak Ogos 2015, Hamza menyiarkan mesej audio dan video di Internet menyeru pengikutnya melancarkan serangan terhadap AS dan sekutu baratnya, sebagai membalas dendam terhadap pembunuhan bapanya pada Mei 2011,” kata Evanoff.

Pada 5 Januari, 2017 Jabatan Negara mengisytiharkan Hamza sebagai pengganas sehubungan itu usaha memburunya tertakluk di bawah Perintah Eksekutif 13224.

“Pengumuman hari ini menunjukkan usaha AS untuk menggunakan semua kaedah yang ada bagi membanteras keganasan dan Al-Qaeda serta pemimpinnya perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka,” kata Evanoff.

Program itu antara langkah bagi memerangi keganasan antarabangsa dan sehingga kini lebih AS$150 juta telah dibayar kepada lebih 100 individu yang memberikan maklumat.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan, dunia hanya tertumpu kepada ancaman Daesh. Al-Qaeda, dalam tempoh ini, banyak berdiam, itu strategi dan bukan bermakna mereka mengaku kalah. Jangan silap menilai, Al-Qaeda sedang mengumpulkan keupayaan untuk menyerang kita,” kata Sales.

Pada 11 September, 2001 seramai 19 pengikut Al-Qaeda didakwa merampas empat jet komersial AS – dua jet merempuh Pusat Dagangan Dunia New York dan masing-masing satu ke Pentagon dan di Pennsylvania mengorbankan hampir 3,000 orang awam, warga asing dan anggota polis. – Bernama, 1 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen