Tunjukkan lebih banyak bukti, PAS cabar Sarawak Report


Alfian Z.M. Tahir

Naib Presiden PAS Idris Ahmad mencabar Clare Rewcastle-Brown yang berpangkalan di United Kingdom itu untuk memberi lebih banyak bukti, contohnya siapa menandatangani cek berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2019.

PAS masih mahu Clare Rewcastle-Brown menunjukkan lebih banyak bukti bahawa parti membayarnya, walaupun selepas pengarang Sarawak Report itu mengesahkan menerima RM1.4 juta dalam bentuk caj perundangan sebagai penyelesaian di luar mahkamah dalam kes membabitkan presidennya Abdul Hadi Awang.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad mencabar wartawan yang berpangkalan di United Kingdom itu untuk memberi lebih banyak bukti, contohnya siapa menandatangani cek berkenaan.

“Tunjuk kami bukti siapa keluarkan cek itu. Nama orang yang keluarkan cek. Jika itu tidak cukup, tunjuk kami nombor cek dan siapa tandatangan di belakang cek,” kata Idris kepada The Malaysian Insight.

“Mudah untuk buktikan tuduhan seperti itu. Tidak seperti RM90 juta yang dikatakan dimasukkan ke akaun PAS.

“Ini lebih mudah, semua dokumen ada pada dia, jadi kenapa tidak tunjukkan pada kami,” katanya.

Malam tadi, Sarawak Report mengesahkan PAS membayarnya RM1.42 juta caj perundangan untuk menyelesaikan saman fitnah Hadi terhadap Rewcastle-Brown berhubung artikel disiarkan pada 2016 mendakwa parti Islam itu menerima RM90 juta daripada Umno.

Portal itu berkata adalah sebahagian daripada perjanjian penyelesaian luar mahkamah dicapai pada 24 Januari lalu dan ia bersetuju dengan penarikan saman Hadi dengan syarat kedua-dua pihak merahsiakan bayaran itu.

Rewcastle-Brown berkata pemimpin PAS berulang kali melanggar kerahsiaan tanggungjawab itu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man malam tadi mengulangi kenyataan bahawa parti itu tidak membayar Sarawak Report sesen pun ketika menghentikan tuntutan samannya di London.

“Kita boleh teruskan saman itu tetapi kosnya RM4 juta hingga RM5 juta, wang itu sepatutnya lebih baik digunakan untuk tahfiz dan membantu orang miskin.

“Kalau kita menang sekalipun, pampasan untuk kami tidak sebanyak itu,” kata Tuan Ibrahim pada ceramah di Semenyih.

Katanya, tiada kos dibayar sama ada kepada PAS daripada Sarawak Report atau sebaliknya, selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah, di mana ia didengar di mahkamah di England pada 1 Februari.

Presiden PKR Anwar Ibrahim pada satu ceramah di Semenyih baru-baru ini berkata beliau ada bukti dalam bentuk penyata bank bahawa PAS membayar Sarawak Report RM1.42 juta. – 1 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen