PM Israel Netanyahu akan didakwa kerana rasuah


Peguam negara Israel berkata akan mendakwa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu atas kes rasuah, penipuan dan pecah amanah. – Gambar EPA, 1 Mac, 2019.

PEGUAM Negara Israel Avichai Mandelblit semalam mengumumkan hasrat mendakwa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu atas kes rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Perdana menteri veteran itu menafikan semua tuduhan.

Kes pertama dikenali sebagai Kes 1,000 membabitkan tuduhan bahawa Netanyahu dan keluarganya menerima pelbagai cerut mewah, champagne dan barangan kemas daripada individu kaya, dianggarkan bernilai kira-kira AS$277,000, sebagai pertukaran untuk permintaan berkaitan kewangan atau peribadi.

Menurut polis, penerbit Hollywood Arnon Milchan memberikan hadiah bernilai 750,000 shekels sementara yang lain daripada jutawan Australia James Packer.

‘Urus niaga rahsia’ akhbar

Siasatan kedua dikenali sebagai Kes 2000, membabitkan tuduhan Netanyahu membuat urus niaga dengan pemilik akhbar Yediot Aharonot yang berjanji memberikannya liputan yang berpihak kepadanya.

Sebagai pertukaran, Netanyahu didakwa membangkitkan kemungkinan mendesak perundangan yang membolehkan had pengedaran Israel Hayom, akhbar percuma yang menjadi pesaing terdekat Yediot.

Polis berdasarkan siasatan mereka kepada rakaman pertemuan antara Netanyahu dan penerbit Yediot, Arnon Moses.

Ari Harow, bekas ketua staf Netanyahu bersetuju untuk memberi keterangan.

Siasatan ketiga dikenali sebagai Kes 4,000, dianggap paling serius dan berkaitan dengan tuduhan cubaan mendapatkan liputan media yang positif.

Mandelblit berkata dalam kes itu, beliau berniat mendakwa Netanyahu atas tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Netanyahu didakwa berunding dengan Shaul Elovitch, pemegang saham yang mengawal syarikat telekomunikasi gergasi Israel, Bezeq untuk mendapatkan liputan positif terhadap laman beritanya Walla! sebagai pertukaran kepada dasar yang memberi manfaat kepada Bezeq.

Shlomo Filber, sekutu Netanyahu selama lebih 20 tahun dan bekas ketua pengarah kementerian telekomunikasi menjadi saksi dalam kes itu. – AFP, 1 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen