SEBUAH pusat rawatan Ebola di timur Congo terbakar pada Rabu, selepas penyerang bersenjata melepaskan tembakan ke arah pusat itu, kata pegawai kesihatan.
Identiti dan motif serangan masih belum dapat dipastikan.
Sejak kebelakangan ini, ramai pekerja bantuan kemanusiaan yang bertugas memerangi penularan wabak Ebola berdepan ancaman pengganas.
Selain itu, puluhan militia bersenjata turut menyasarkan orang awam dan pasukan keselamatan di sempadan timur Congo dengan Uganda dan Rwanda.
Kementerian Kesihatan berkata dalam satu kenyataan, ketika kejadian terdapat 38 pesakit disyaki dijangkiti Ebola dan 12 lagi disahkan positif, berada di pusat terbabit.
Empat pesakit positif Ebola melarikan diri dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.
Kementerian berkata tiada pesakit dan petugas kesihatan dilaporkan cedera.
Medecins Sans Frontieres (MSF) Perancis yang mengendalikan pusat itu bersama kementerian, mengutuk serangan itu.
Serangan di bandar Butembo adalah kejadian kedua, sebelum ini pada Ahad penyerang tidak dikenali menyerang pusat rawatan di bandar Katwa, meragut nyawa seorang jururawat. – Bernama, 1 Mac, 2019.
Komen