PEGUAM Negara Tommy Thomas memfailkan permohonan hina mahkamah ke atas peguam Umno Muhammad Shafee Abdullah berkaitan kenyataan dibuat kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 7 Februari.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi, mendakwa Shafee melanggar Arahan 52 Peraturan Mahkamah 2012 dengan cara mahu mempengaruhi keputusan mahkamah dalam membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara untuk melepaskan tetapi tidak membebaskan Najib Razak berkaitan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Timbalan Pendakwa Raya Shamsul Bolhassan berkata Hakim Firuz Jaffril berpuas hati dengan permohonan itu dan meluluskannya. Beliau menetapkan 25 Mac untuk pendengaran kes, Shafee akan diberikan notis dalam tempoh dua minggu.
Permohonan itu memetik kenyataan Shafee diberikan kepada wartawan, diterbitkan KiniTV milik Malaysiakini sebagai berkata: “Kami sudah bersedia lama. Tetapi, biasalah, saat akhir, ada banyak perubahan.
“Tetapi, kami fikir kes kami sangat baik. Okay? Jika hakim sendiri (bebas), tidak ada pengaruh ke atas hakim, jika hakim lurus, jika saksi tidak dilatih dan bukti tidak ditipu, kami wajar menang. Okay? Awak terkejut. Pandangan saya kami wajar menang. Okay?”
Dalam permohonan itu, Thomas berkata Shafee tahu atau sepatutnya tahu yang kenyataan itu bersifat menyinggung terhadap hakim, dan memperlekeh pentadbiran keadilan dan keyakinan awam terhadap badan kehakiman.
“Kata-kata diluahkan sengaja atau dengan niat oleh defendan dalam cubaan menekan dan mempengaruhi keputusan kes.”
Di bawah Arahan 52, mereka yang disabitkan bersalah melanggar peraturan mahkamah boleh didenda atau dipenjara. – 1 Mac, 2019.
Komen