PAS hanya pengacau pilihan raya, kata Dr Mahathir


Nabihah Hamid

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersama pemimpin DAP Lim Kit Siang selepas wawancara bersama The Malaysian Insight di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini menyifatkan PAS hanya sebagai pengacau pilihan raya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 September, 2017.

PAS hanya akan jadi pengacau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana ia tidak pernah menang cukup kerusi untuk menjejaskan penguasaan Barisan Nasional di Putrajaya, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Sejak ditubuhkan, ia hanya menang di Kelantan, Terengganu dan mungkin Kedah,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“PAS tidak pernah buat perkara baik untuk negara,” tambah Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif Insight Talk bersama The Malaysian Insight.

Wawancara yang dikendalikan oleh ketua pengarang The Malaysian Insight, Jahabar Sadiq itu disiarkan melalui Facebook, dan turut menampilkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Dengan mencetuskan pertembungan tiga penjuru, PAS hanya akan memperpanjangkan pemerintahan BN, kata Dr Mahathir.

Majlis Presiden PH minggu lalu sepakat menutup pintu kerjasama dengan parti Islam itu menjelang PRU14, sebaliknya bersiap sedia untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru.

Dr Mahathir berkata sebagai seorang Islam beliau merasakan tafsiran PAS tentang Islam bertentangan dengan ajaran agama itu dan memecah-belahkan orang Melayu Islam di negara ini.

“Ini tidak dianjurkan dalam ajaran Islam tetapi orang jadi begitu fanatik kepada pemimpin agama, bukan kepada ajaran agama itu.

“Religion akan menyatukan manusia tetapi guru agama akan memecah-belahkan masyarakat kerana alasan peribadi, dan itulah yang berlaku di Malaysia kerana PAS menggunakan Islam.

Penasihat DAP Lim Kit Siang pula berkata PAS perlu jelas dalam politiknya dan rakyat pula mesti jelas tentang pilihan yang ada pada mereka.

“Semakin dekat dengan pilihan raya ini, (PAS) mesti boleh memberitahu mereka pendiriannya dan tidak memberikan gambaran yang mengelirukan dan bercelaru.

“Tanggungjawab menyelamatkan negara ini harus dipikul oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau parti politik,” katanya.

Menurut Lim, itulah sebabnya PH perlu mendapatkan sokongan daripada ahli Umno dan PAS, serta para penyokongnya.

“PAS di bawah presidennya sekarang Abdul Hadi Awang berlainan dengan PAS semasa dipimpin oleh Yusof Rawa, Fadzil Noor dan Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang lebih inklusif pendekatannya dan bertolak ansur.

“Saya rasa ini lebih penting kerana rakyat boleh nampak bagaimana kita boleh membawa perubahan,” katanya.  – 6 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen