BANGLADESH memberitahu Majlis Keselamatan PBB semalam yang ia tidak lagi mampu menerima pelarian dari Myanmar.
Setiausaha Luar Shahidul Haque dalam mesyuarat majlis berkata yang krisis ribuan pelarian Rohingya yang berlindung di negaranya kini bertukar daripada “buruk kepada sangat buruk” dan menggesa majlis mengambil tindakan segera.
Sejumlah 740,000 Islam Rohingya kini tinggal dalam kem pelarian di Bangladesh selepas melarikan diri dari Rakhine, Myanmar disebabkan operasi ketenteraan pada 2017 yang disifatkan PBB sebagai pembersihan etnik.
“Di sini, saya berat hati ingin memaklumkan majlis yang Bangladesh tidak lagi berada dalam kedudukan mampu menerima lebih ramai rakyat Myanmar,” kata Haque.
Di bawah perjanjian dengan Bangladesh, Myanmar bersetuju menerima kembali sebahagian pelarian, tetapi PBB bertegas yang keselamatan Rohingya perlu dijamin sekiranya mereka dihantar pulang.
“Adakah Bangladesh terpaksa menganggung kesan kerana bertindak balas dan bertanggungjawab menunjukkan belas kasihan kepada kumpulan minoriti tertindas negara jirannya?” tanya setiausaha luarnya.
Selepas lima kali melawat Myanmar, Utusan PBB Christine Schraner Burgener melaporkan yang hanya “progres perlahan” wujud untuk membantu ribuan pelarian Rohingya pulang dan memberi amaran pilihan raya Myanmar akan datang bakal memburukkan krisis.
Diplomat Switzerland yang dilantik pada April tahun lepas sebagai utusan PBB untuk Myanmar, berkata agensi PBB diberikan akses “tidak mencukupi” untuk membantu Rohingya yang ingin pulang.
Duta Myanmar Hau Do Suan menegaskan kerajaannya sedang berusaha dan meminta dunia bersabar.
Beliau bercakap tentang “halangan besar fizikal dan psikologi” untuk membenarkan pelarian pulang dan menekankan “ia mengambil masa dan kesabaran serta keberanian untuk membina kembali kepercayaan dan keyakinan antara pelbagai komuniti di Rakhine.”
China yang merupakan sekutu rapat Myanmar, menegaskan yang bantuan pembangunan boleh membantu mengurangkan ketegangan di Rakhine dan meminta majlis tidak masuk campur dalam krisis pelarian.
“Terpulang kepada kedua-dua negara untuk mencari penyelesaian,” kata Timbalan Duta China Wu Haitao.
Disember lalu, Britain mengedarkan draf resolusi yang boleh memaksa Myanmar melaksanakan strategi menangani krisis Rohingya, tetapi China mengugut menggunakan kuasa vetonya, menurut diplomat.
Utusan PBB turut memberi amaran yang kempen pilihan raya Myanmar “boleh menambah kerumitan domestik” di negara itu yang masih bergelut dalam transisi demokratik selepas 50 tahun diperintah junta.
Ketua Umum Myanmar Aung San Suu Kyi menerima kecaman hebat dunia kerana gagal membela Rohingya, akan bertanding mengukuhkan kedudukannya menjelang pilihan raya 2020.
Junta tentera Myanmar mendominasi negara majoriti Buddha itu, memegang suku kerusi dalam Parlimen dan mengawal tiga kementerian, memastikan kuasa mereka terus kukuh walaupun reformasi politik sudah bermula sejak 2011. – AFP, 1 Mac, 2019.
Komen