WAKIL rakyat Mexico pada Khamis beramai-ramai meluluskan rang undang-undang untuk menubuhkan pasukan Pengawal Nasional seramai 50,000 orang untuk memerangi kartel dadah di negara itu.
Usaha itu dicadangkan oleh Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, mencetuskan kritikan ia akan terus menjadikan penentangan Mexico ke atas kartel dadah dipenuhi unsur ketenteraan.
Rang undang-undang itu diluluskan dengan undi 463 menyokong dan hanya seorang menentang di Dewan Rendah susulan keputusan sokongan sebulat suara di Senat minggu lepas.
Ia kini hanya perlukan ratifikasi separuh daripada 32 Dewan Perundangan Tinggi, yang kebanyakannya adalah sekutu parti presiden, Morena.
Pasukan itu adalah sebahagian daripada strategi baharu dijanjikan Lopez untuk memerangi keganasan berkaitan dadah yang semakin buruk.
Menjawab pengkritiknya, Lopez bersetuju untuk meletakkan pasukan baharu itu dibawah arahan awam, tetapi penentangnya berkata ia tidak mampu mengekang pengaruh ketenteraan.
Lebih daripada 200,000 orang terbunuh di Mexico sejak 2006, apabila kerajaan bertindak mengerahkan tentera untuk memerangi kartel dadah.
Terdapat 33,341 kes bunuh berlaku tahun lepas, tertinggi di negara itu sejak 1997, menurut angka rasmi kerajaan. – AFP, 1 Mac, 2019.
Komen