SEORANG pembunuh berusia 70 tahun dijadualkan pada Khamis untuk menjadi penjenayah tertua dihukum bunuh di Texas sejak Amerika Syarikat mengembalikan hukuman itu.
Billie Wayne Coble disabitkan bersalah pada 1989 kerana membunuh tiga orang- ibu bapa dan adik lelaki bekas isterinya yang meminta cerai.
Jika suntikan maut itu diteruskan pada petang Khamis di bilik hukuman mati di Huntsville, Texas, ia adalah hukuman ketiga dilaksanakan tahun ini di AS dan yang kedua di Texas, yang mempunyai jumlah banduan hukuman mati teramai di negara itu.
Seorang pegawai mengesahkan yang Coble akan menjadi penjenayah tertua dihukum mati di Texas selepas Mahkamah Agung AS mengembalikan hukuman mati pada 1976. Penjenayah tertua pernah dihukum mati di AS adalah Walter Moody, 83, yang dihukum bunuh tahun lepas di Alabama.
Tahanan boleh menunggu hukuman mati berdekad lamanya sementara kes mereka dibicarakan di mahkamah.
Terdapat hampir 30 tahanan menunggu hukuman mati di Texas dan berada dalam penjara lebih 25 tahun, menurut Penjara Texas.
Mahkamah Agung AS menolak rayuan saat akhir pada malam Khamis lalu.
Coble, seorang veteran Vietnam, disabit bersalah membunuh adik iparnya Bobby Vicha, yang merupakan seorang pegawai polis di Waco, dan ibu bapa Vicha, Robert dan Zelda.
Pendakwa raya berkata beliau juga mengikat anak-anaknya dan anak lelaki Bobby, serta menculik isterinya dengan niat merogol dan membunuhnya. Isterinya melepaskan diri selepas kereta dipandu Coble terlibat dalam kemalangan.
Anak lelaki Bobby, yang berusia 11 tahun ketika kejadian, memberitahu stesyen televisyen KXXV yang beliau dan sepupunya diikat berjam lamanya.
“Sepanjang kejadian, saya tak tahu apa sebenarnya berlaku,” kata Vicha.
“Saya jadi pendakwa raya selama lapan tahun, jadi setiap hari saya berurusan dengan penjenayah,” tambahnya. “Saya tak pernah berurusan dengan seseorang yang saya rasa sejahatnya.”
Dua puluh lima orang dihukum mati tahun lepas di AS, separuh daripada mereka di Texas, menurut Pusat Maklumat Hukuman Mati.– AFP, 1 Mac, 2019.
Komen