Luke Perry, bintang 90210 diserang angin ahmar


Luke Perry, antara bintang terkenal era 1990an menerusi siri drama remaja Beverly Hills 90210 dilaporkan dirawat di hospital kerana serangan angin ahmar. – Gambar AFP, 1 Mac, 2019.

PELAKON Luke Perry, yang jadi terkenal pada era 1990-an kerana peranannya dalam siri televisyen “Beverly Hills, 90210” dimasukkan ke hospital di California, kata ejennya pada Khamis, dengan beberapa media AS melaporkan beliau diserang angin ahmar.

Pelakon berusia 52 tahun itu dikejarkan ke hospital di Los Angeles pada Rabu dan dalam pemerhatian pasukan perubatan, kata wakilnya kepada AFP, enggan mengulas lanjut keadaan pelakon itu.

Ramai selebriti, termasuk beberapa bekas pelakon 90210, menggunakan media sosial meluahkan sokongan kepada Perry.

“Kawanku. Aku sedang memelukmu erat dan berikan kekuatku kepadamu. Awak boleh lepasi semua ini,” tulis Shannen Doherty yang memainkan peranan Brenda Walsh dalam siri drama remaja yang disiarkan pada 1990 hingga 2000 itu di Instagram.

Dalam catatan itu, Doherty turut berkongsi gambar lama kedua-dua pelakon itu berpelukan- mereka adalah salah satu pasangan siri tersebut yang paling terkenal.

Portal hiburan TMZ melaporkan yang Perry terkena serangan angin ahmar “teruk”.

Perry berada di Los Angeles bekerja untuk siri Riverdale, adaptasi komik Archie, di mana beliau memainkan peranan ayah Archie, Fred Andrews.

Pada Rabu, hari Perry dikejarkan ke hospital, Fox mengumumkan ia akan melakukan reboot Beverly Hills 90210.

Enam bintang asal siri tersebut, termasuklah Jason Priestley, Jennie Garth dan Tori Spelling sudah bersetuju membintanginya- tetapi tidak ada pengesahan Perry terlibat sama. – AFP, 1 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen