AMERIKA Syarikat semalam menawarkan habuan AS$1 juta untuk maklumat berkaitan anak lelaki bekas pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, menganggapnya tokoh pengganas baharu sedang meningkat naik.
Lokasi Hamza bin Laden, kadang-kadang digelar “putera mahkota jihad” menjadi tajuk bualan bertahun lamanya apabila timbul laporan yang beliau kini berada di Pakistan, Afghanistan, Syria malah pernah dilaporkan jadi tahanan rumah di Iran.
“Hamza bin Laden adalah anak lelaki Allahyarham ketua AQ Osama bin Laden dan merupakan pemimpin meningkat naik franchais AQ,” kata Jabatan Negara dalam satu kenyataan.
Jabatan Negara berkata ia menawarkan habuan sehingga AS$1 juta untuk maklumat yang membawa kepada pengesahan lokasi Hamza di mana-mana negara.
Hamza yang menurut AS berusia sekitar 30-an, mengugut membuat serangan ke atas AS untuk membalas dendam pembunuhan ayahnya pada 2011 oleh pasukan tentera AS di bandar Abbottabad, Pakistan.
Agensi risikan AS mendapat maklumat risikan yang anak lelaki Osama itu kini sedang menggantikan ayahnya sebagai ketua pengganas, terutama dengan kejatuhan IS di Syria.
Pada 2015, Hamza mengeluarkan mesej audio menggesa pengganas di Syria untuk bersatu, mendakwa peperangan di negara itu membuka jalan untuk “pembebasan Palestin.”
Dan dalam sebuah lagi mesej setahun kemudian, mengikut jejak ayahnya, beliau menggesa usaha menyingkirkan kepimpinan di Arab Saudi.
Tiga isteri dan anak-anak Osama bin Laden dalam diam dibenarkan pulang dan masuk ke Arab Saudi selepas ketua pengganas paling dihendaki dunia itu terbunuh.
Tetapi, kedudukan Hamza tidak pernah dapat dipastikan.
Beliau dipercayai menghabiskan bertahun lamanya bersama ibunya di Iran, walaupun Al-Qaeda menganggap Syiah yang mendominasi Iran bukanlah ajaran Islam yang sah.
Pemerhati berkata, Tehran mengurungnya dalam tahanan rumah bagi memberi tekanan kepada Arab Saudi serta Al-Qaeda, menghalang kumpulan dominasi Sunnah itu menyerang Iran.
Salah seorang adik tiri Hamza memberitahu The Guardian tahun lepas yang kedudukan Hamza tidak diketahui, tetapi kemungkinan besar beliau berada di Afghanistan.
Beliau juga mendedahkan yang Hamza berkahwin dengan anak perempuan Mohammed Atta, ketua penyerang serangan 11 September 2011 di AS yang membunuh hampir 3,000 orang dan mencetuskan perang AS ke atas Afghanistan. – AFP, 1 Mac, 2019.
Komen