PAS sah kerjasama dengan Umno, akan bincang Khamis depan


SM Amin Sheridan Mahavera

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan parti Islam itu akan mengadakan perbincangan dengan Umno pada Khamis depan untuk kerjasama politik mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2019.

KURANG dua minggu selepas berkata akan “menyokong” Dr Mahathir Mohamad sekiranya usul undi tak percaya dibentangkan di Parlimen, PAS mengesahkan sedang meneroka kerjasama baharu dengan Umno untuk menumbangkan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perbincangan bentuk kerjasama itu akan diadakan pada Khamis depan bersama dengan kepimpinan tertinggi Umno.

Ketika ditanya sama ada kerjasama itu berbentuk “tahaluf siyasi” seperti mana yang dilakukan oleh PAS sewaktu bersama Pakatan Rakyat dahulu, Tuan Ibrahim berkata: “Konsep itu kita tengok dahulu.”

Menurut Tuan Ibrahim, idea untuk mengadakan kerjasama yang lebih erat dengan Umno timbul selepas melihat sokongan akar umbi kedua-dua parti yang mahukan dua parti terbesar Melayu Islam itu bersatu.

“Saya dah melawat beberapa tempat dan saya jumpa orang PAS dan Umno duduk bersama. Mereka mahu tengok muafakat antara kedua-dua parti.

“Dalam PRU15 Insya-Allah kita akan buat kerjasama politik untuk kemenangan. PAS dan Umno ada banyak persamaan dan prinsip kita pun ada banyak persamaan,” katanya pada ceramah di Bandar Seri Putra sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih malam tadi.

Pada Muktamar PAS tahun lalu, sayap Pemuda PAS menolak usul tergempar supaya PAS mengadakan “tahaluf siyasi” (kerjasama politik) dengan Umno.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dalam ceramahnya di pentas yang sama menegaskan orang Melayu dan Islam hanya dapat disatukan apabila PAS dan Umno bekerjasama.

“Tidak ada jalan, cara, resepi dan formula lain untuk menyatu padukan orang Melayu, umat Islam di tanahair ini selain daripada dua parti Melayu terbesar Umno dan PAS mesti bekerjasama.

“Hari Khamis kita (Umno-PAS) akan bertemu. Kita akan duduk bersama untuk menyusun atur gerak kerja dan terma rujukan kita.

“Maka kita tidak akan memandang ke belakang lagi. Kita akan terus merempuh apa yang ada di depan,” katanya.

Beliau juga membayangkan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad akan mengadakan PRU15 dalam masa dua tahun kerana enggan menyerahkan jawatan tersebut kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Saya rasa habis lama (jadi pembangkang) paling kuat dua tahun. Saya yakin ‘atok’ kita tidak akan bagi (jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim).

“Susah-susah nanti dia panggil pilihan raya baharu. Kita bersiap daripada sekarang,” ujarnya. – 1 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen