Tentera Syria sedia lancar serangan terakhir ke atas IS 


Pasukan Demokratik Syria bersedia untuk melakukan serangan di kubu militan IS terakhir di timur Syria.– Gambar EPA, 28 Februari, 2019

TENTERA yang diketuai pejuang Kurdish pada Khamis bersedia untuk melancarkan serangan terakhir terhadap kumpulan militan yang mempertahankan kubu terakhir mereka di timur Syria.

Pasukan Demokratik Syria (SDF) masih bergelut untuk mengatasi kebanjiran keluarga militan terbabit dari Baghouz yang merupakan kubu terakhir kumpulan militan IS.

Ribuan wanita dan kanak-kanak membanjiri kem Al-Hol, mencetuskan kebimbangan penularan wabak penyakit.

Mereka yang ditempatkan di kem Al-Hol kebanyakannya wanita dan kanak-kanak yang cedera.

“Kami mahu operasi pemindahan diselesaikan secepat mungkin untuk kami bergerak ke fasa seterusnya: menyerah atau diserang” kumpulan militan yang masih ada, kata jurucakap SDF Adnan Afrin kepada AFP.

SDF menganggarkan jumlah anggota militan di kubu terakhir IS itu, hanya tinggal beberapa ratus daripada beberapa ribu sebelum ini.

“Kami tidak pasti jumlah orang awam yang masih berada di sana tetapi setiap hari kami berdepan dengan ramai orang yang keluar dari situ. Kami tidak menjangkakannya,” kata Afrin.

SDF juga mengumumkan hari Khamis pasukannya telah membebaskan 24 rakan mereka yang telah ditawan oleh militan tetapi tidak menjelaskan bagaimana ia dilakukan. – AFP, 28 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen