Siasatan PBB dakwa Israel mungkin terbabit jenayah kemanusiaan 


SIASATAN Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu pada Khamis menyatakan, terdapat bukti Israel telah melakukan jenayah kemanusiaan dalam tindak balasnya terhadap protes di Gaza tahun lalu, berikutan penembak tepat membidik sasaran yang jelas dapat dikenal pasti sebagai kanak-kanak, pekerja perubatan dan wartawan.

Israel bagaimanapun menolak laporan berkenaan.

Suruhanjaya Siasatan Bebas PBB menjalankan inkues berhubung salah laku pada protes yang diadakan di Wilayah Palestin yang dijajah zionis di Jalur Gaza antara 30 Mac dan 31 Disember 2018.

“Tentera Israel jelas melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa,” menurut pengerusi jawatankuasanya Santiago Canton dalam satu kenyataan.

“Sebahagian daripada pelanggaran itu mungkin merupakan jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.

Suruhanjaya itu, yang ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada bulan Mei, berkata “lebih daripada 6,000 penunjuk perasaan tidak bersenjata ditembak oleh penembak tepat tentera” selama minggu protes itu berlansung. – AFP, 28 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen