Pakatan kalah pilihan raya kalau tak kerjasama, kata Dr Mahathir


Diyana Ibrahim

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor bersama kepimpinan Kerajaan Persekutuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Februari, 2019.

PAKATAN Harapan mungkin akan kalah pilihan raya umum akan datang jika tidak menjaga hubungan baik sesama parti, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata PH mesti perlu memberi keutamaan untuk kukuhkan kerjasama antara gabungan parti politik itu.

“Kerjasama mesti diadakan dengan cukup rapat, kalau kita bergerak semata-mata untuk parti masing-masing sudah tentu kita tidak dapat manfaat daripada perpaduan dalam gabungan.

“Untuk kita dapat manfaat maksimum daripada kerjasama politik empat buah parti ini, maka kita perlu utamakan kerjasama parti PH,” katanya ketika berucap semasa program sesi pemukiman kerajaan Johor di Putrajaya hari ini.

Beliau turut menyeru pemimpin PH untuk mengadakan perjumpaan dengan lebih kerap bagi bertukar-tukar fikiran.

“Ada bahas sesama kita. Ia tidak terhad sesama exco tetapi ahli lain perlu dapat keterangan sepanjang masa dan kegiatan parti di peringkat pusat dan negeri dan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada kejayaan parti sebagai pemerintah.”

Pada masa yang sama, beliau turut meminta pemimpin PH tidak membuat teguran berkaitan sensitiviti perkauman dan agama secara terbuka.

Beliau berkata pemimpin PH harus menjaga perpaduan dan jika berlaku masalah melibatkan isu tersebut perlu dirujuk kepada kerajaan dahulu.

“Yang harus kita ingat kita adalah parti berbagai kaum, dan sensitiviti masing-masing kaum mestilah dijaga.

“Jangan menyakit hati mana-mana kaum dengan membuat teguran dan keluarkan mengatakan kesat terhadap kaum-kaum yang lain ataupun pengganut agama lain,” katanya.  – 28 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen