Pemimpin Pakatan jangan kecam kapitalis, kata Dr Mahathir


Diyana Ibrahim

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pemimpin kerajaan tidak sepatutnya menolak sistem kapitalis kerana ia akan menjejaskan kestabilan ekonomi semasa Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Februari, 2019.

DR Mahathir Mohamad kesal kerana masih ada lagi kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang masih bersikap seperti pembangkang walau kini sudahpun memimpin kerajaan.

Perdana menteri berkata pemimpin PH tidak sepatutnya bersikap seperti pendukung sosialis yang menolak sistem kapitalis kerana akan menjejaskan kestabilan ekonomi.

Jelasnya, negara amat memerlukan golongan kapitalis untuk memberi pendapatan kepada negara.

“Kerajaan ini terdiri daripada pemimpin yang 61 tahun jadi pembangkang. Oleh itu, mereka mempunyai sikap pembangkang yang seperti sosialis,” katanya dalam satu ucapan di Putrajaya.

Jelasnya pemimpin berkenaan perlu mengubah tanggapan bahawa golongan kapitalis merupakan perosak dan menindas rakyat.

“Apabila kita dalam kerajaan kita tak boleh kecam sistem kapitalis kerana sistem merekalah yang memperkayakan negara. 

“Mereka banyak melabur dan bayar cukai kepada kerajaan,” katanya berucap semasa sesi pemukiman kerajaan negeri Johor di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, perdana menteri turut mengakui tidak mudah bagi kerajaan menunaikan janji yang dibuat semasa jadi pembangkang.

Beliau berkata, ia juga menjadi dilema kerajaan untuk tetap menunaikan janji walau dengan kewangan yang terhad.

“Kita janji sebelum jadi kerajaan tapi lepas jadi kerajaan tak mudah kita tunaikan. Sebab masa kita buat janji kita tak tahu sepenuhnya tapi kalau tak tunai rakyat tolak sokongan kepada PH.”

Katanya begitu juga dengan janji PH memberi tol percuma kepada rakyat, ia juga tidak mudah dilakukan.

Dr Mahathir berkata, jika kutipan tol dihapuskan sepenuhnya maka kerajaan perlu menanggung kos penyelenggaraan lebuh raya. – 28 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen