KELUARGA yang terus menduduki unit perumahan awam kos rendah (PPR) dan tidak memenuhi syarat akan diusir kerana unit subsidi sangat diperlukan untuk golongan miskin tegar, kata exco kerajaan negeri Jagdeep Singh Deo.
Beliau berkata sesetengah individu sudah berada dalam senarai menunggu untuk perumahan selama lebih 10 tahun, sambil menambah pihak berkuasa akan terus menjalankan audit secara berkala berhubung kelayakan penyewa dalam skim sewa PPR untuk bersikap adil kepada pemohon yang layak.
Pulau Pinang mempunyai bilangan unit PPR paling sedikit di negara ini dengan hanya 999 unit, menurut jawapan Parlimen oleh kerajaan persekutuan pada Mei 2016.
Jagdeep berkata pengusiran akan menjadi pilihan terakhir, tetapi menegaskan tindakan perlu diambil jika penyewa didapati tidak layak menduduki unit tersebut, atau berterusan gagal membayar sewa yang rendah.
“Ini adalah perlu, seperti yang saya katakan sebelum ini, terdapat bekalan yang sangat sedikit bagi unit sewaan itu, sementara senarai menunggu terus bertambah dengan jumlah 1,137 bagi unit di seluruh Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Jagdeep susulan notis pengusiran yang diserahkan kepada 22 penyewa di flat PPR Taman Manggis.
Kesemua keluarga itu mempunyai tempoh sehingga 6 Mac untuk mengosongkan unit tetapi Jagdeep berkata mereka masih dibenarkan membuat rayuan kepada Jabatan Perumahan sebelum tarikh akhir.
Taman Manggis adalah satu daripada dua flat PPR di daerah timur laut, di mana tanahnya terhad tetapi masih menjadi lokasi paling popular bagi golongan berpendapatan rendah.
Flat ini mempunyai kedudukan yang strategik di bandar, tidak jauh dari pusat bandar. Flat PPR lain di daerah sama, yang juga mempunyai kadar penghuni tinggi, adalah flat Jalan Sungai.
Jagdeep berkata senarai menunggu di daerah timur laut adalah 734, dan 434 daripadanya sedang menunggu unit di Taman Manggis.
Beliau berkata 271 pemohon flat PPR Taman Manggis PPR menunggu selama tujuh tahun, sementara 22 pemohon lain sudah menunggu selama 10 hingga 11 tahun.
“Kami harus tegas untuk bersikap adil kepada mereka yang berada dalam senarai menunggu selama ini,” katanya. – 28 Februari, 2019.
Berita penuh di sini
Komen