PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis sekali lagi berkata beliau “tidak mahu tergesa-gesa” ketika berdepan Korea Utara yang sekali gus mencadangkan laluan ke arah pembasmian senjata nuklear rejim itu masih panjang, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.
“Kepantasan tidak begitu penting. Bagi saya, saya amat menghargai ketiadaan ujian pelancaran roket nuklear dan peluru berpandu,” kata beliau pada permulaan rundingan empat mata dengan Kim.
“Sekali lagi, saya ingin mengulangi bahawa saya tidak mahu tergesa-gesa. Kami tidak mahu ujian itu dilakukan, kami sudah membangunkan sesuatu yang amat istimewa bagi tujuan itu,” katanya.
Sementara itu, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata beliau akan terus melakukan segala yang termampu bagi menjayakan rundingan dengan Trump semasa mereka memulakan perbincangan yang masuk hari kedua di Hanoi pada Khamis.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk mencapai hasil yang memberangsangkan,” kata Kim sambil duduk bersama Trump.
Kim berkata beliau mempunyai “firasat” akan mencapai kejayaan menerusi “dialog hebatnya” dengan presiden itu. – Bernama, 28 Februari, 2019.
Komen