Lombong runtuh di Indonesia, 6 sah maut, berpuluh terperangkap


Seramai 19 orang berjaya dikeluarkan sejak malam Selasa lepas dan pasukan penyelamat masih berhubungan dengan beberapa orang pelombong yang terperangkap, mewujudkan harapan masih ada yang terselamat. – Gambar AFP, 28 Februari, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA enam orang maut dan berpuluh masih terperangkap dalam runtuhan sebuah lombong emas haram di Indonesia, kata pegawai hari ini, ketika pasukan penyelamat masih bertungkus lumus mencari mangsa terselamat.

Seramai 19 orang berjaya dikeluarkan sejak malam Selasa lepas dan pasukan penyelamat masih berhubungan dengan beberapa orang pelombong yang terperangkap, mewujudkan harapan masih ada yang terselamat.

Tetapi, dengan masa semakin singkat, usaha menyelamat di lombong di kawasan pendalaman Kepulauan Sulawesi, Indonesia itu terhalang kerana tebing curam dan keadaan tanah yang tidak stabil selepas runtuhan itu menyebabkan berlakunya tanah runtuh.

Pasukan perubatan sedang mempertimbangkan untuk memotong kaki seorang mangsa kerana beliau ditindih batu besar, menyebabkan mustahil memindahkannya tanpa pembedahan kecemasan di kawasan kemalangan.

“Kita mengejar waktu,” kata Pegawai Agensi Bencana Abdul Muin Paputungan.

“Usaha menyelamat sedang diteruskan tapi berisiko…kita mendengar sekurang-kurangnya tiga orang meminta tolong dan kita cuba menarik mereka keluar dan membekalkan air dan makanan supaya mereka terus hidup.”

Walaupun jentera berat ditempatkan di lokasi tragedi, penyelamat masih terpaksa menggunakan cangkul dan tangan untuk mengorek runtuhan kerana dibimbangi pergerak besar akan memburukkan keadaan.

“Kami terpaksa bataskan jumlah penyelamat kerana terdapat banyak retakan di lokasi…jadi kita takut jika terlalu ramai orang akan menjadi lebih berbahaya,” kata Paputungan.

Enam orang sah terbunuh dalam tragedi itu, yang disebabkan runtuhan tiang sokongan lombong tidak berlesen itu, kata agensi bencana.

Lebih daripada 30 orang mungkinmasih terperangkap dalam lombong di Bolaang Mongondow di Sulawesi Utara, apabila lima pelombong terbunuh pada Disember kerana kemalangan lombong haram.

Negara Asia Tenggara yang kaya sumber itu mempunyai banyak lombong haram dan peraturan keselamatan sering dilanggar.

Keadaan tanah lombong jadi tidak stabil kerana terlalu banyak lubang digali pelombong, kata pegawai.

Pada 2016, 11 pelombong maut selepas tanah runtuh menenggelamkan lombong emas haram di Jambi, Sumatera.

Setahun sebelum itu, 12 orang maut ditimbus selepas memasuki sebuah lombong emas haram yang lama tidak beroperasi. – AFP, 28 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen