SYARIKAT penerbangan Singapore Airlines (SIA) memohon maaf kepada seorang penumpangnya selepas menjumpai sebatang gigi manusia dalam makanan yang dihidangkan kepadanya semasa penerbangan dari New Zealand ke Australia, lapor Today Online.
Kejadian dalam penerbangan SQ248 dari Wellington ke Melbourne itu masih disiasat, kata laporan.
“Kami masih menyiasat kejadian dan menghantar objek (yang dijumpai dalam makanan itu) untuk dianalisis. Apabila keputusannya diketahui, kami akan menentukan tindakan seterusnya yang wajar,” lapor portal berita itu memetik jurucakap SIA.
Laporan itu juga menyebut makanan berkenaan bukan disediakan oleh Sats, penyaji hidangan untuk semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.
Agensi berita Associated Press Australia (AAP) sebelum itu melaporkan penumpang berkenaan Bradley Button mendakwa menemui sebatang gigi bukan miliknya semasa menjamu hidangan dalam penerbangan.
Laporan menyebut beliau diberikan baucer bernilai S$75 (anggaran RM225) yang boleh digunakan untuk memberi barangan bebas cukai dalam penerbangan SIA. – 28 Februari, 2019.
Komen