MENTERI Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau berharap dapat berjumpa dengan Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) untuk memahami hasil dapatan dalam kaji selidiknya baru-baru ini yang mendapati 85% perniagaan tempatan mengalami peningkatan kos pengeluaran sejak pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Kaji selidik itu mendapati 42% daripada perniagaan tempatan menyaksikan kurang 5% kenaikan kos pengeluaran, 34% mengalami kenaikan kos 5% hingga 10% dan 7% berdepan lebih 10% peningkatan kos. Hanya 15% responden tidak mengalami perubahan kos.
Lim berkata beliau sanggup berjumpa FMM untuk memahami sebab dan punca kenaikan harga, menambah kaji selidik itu kelihatan bercanggah dengan jumlah diperoleh Putrajaya yang menunjukkan penurunan dalam kebanyakan harga.
“Kami mahu, sudah tentu untuk memahami lebih dekat daripada perniagaan dan aduan berkenaan kos pengeluaran lebih tinggi, kerana ini tidak dijelaskan dengan fakta atau statistik dan angka,” kata Lim kepada wartawan hari ini.
“Jadi, saya akan berjumpa mereka tidak lama lagi untuk memahami dan jika ada sebarang aduan tentang pelaksanaan, saya pasti ada masalah yang dapat kita selesaikan.” – 28 Februari, 2019.
Baca berita penuh di sini.
Komen