HARI ke-12 inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ditunda kepada esok kerana peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Syazlin Mansor tidak sihat dan tidak dapat hadir hari ini.
Koroner Rofiah Mohamad Mansor memutuskan menangguhkan prosiding hari ini kerana Syazlin adalah satu-satunya peguam mewakili kementerian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Memandangkan Syazlin adalah satu-satunya peguam mewakili kedua-dua pihak, tidak dapat dielakkan yang kita terpaksa menunda inkues sehingga esok (Jumaat),” kata Rofiah.
Sebelum itu, peguam keluarga Adib, Kamarulzaman A Wahab memberitahu mahkamah yang Syazlin tidak dapat hadir kerana migraine.
Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah tidak membantah penangguhan itu.
Difahamkan yang saksi ke-19 dan 20, yang menyaksikan rusuhan di Kuil Sri Mahamariamman di Seafield, Subang Jaya November lalu, sepatutnya memberi keterangan hari ini.
Inkues itu dijalankan kerana siasatan tidak menemui sebarang kesimpulan menyakinkan bagaimana Adib boleh cedera pada rusuhan yang berlaku pada 27 dan 28 November tahun lepas.
Siasatan polis mendedahkan terdapat dua kemungkinan menyebabkan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu: sama ada dipukul atau dilanggar trak bomba.
Adib menerima rawatan di hospital selama tiga minggu, dan walaupun sedarkan diri dan menunjukkan tanda-tanda pulih, beliau meninggal dunia pada 17 Disember. – 28 Februari, 2019.
Komen