BEKAS gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Abdul Aziz memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini beliau turut hadir pada pertemuan antara bekas penasihat BNM Abdul Murad Khalid dan bekas gabenor Jaffar Hussein di London pada Jun 1992.
Zeti, 70, berkata pada Mei atau Jun 1992, Murad yang pada masa itu baru dinaikkan pangkat memantau perdagangan forex bank pusat itu memberitahu Jaafar berlaku sedikit masalah dengan bahagian forex.
Pertemuan itu diadakan di pangsapuri di London di mana Jaffar tinggal. Bekas pengarah jabatan ekonomi BNM Awang Adek Hussin turut hadir.
“Murad beritahu Jaffar berkenaan kerugian besar BNM akibat transaksi tukaran wang asing. Seingat saya, Murad tidak ada butiran terperinci berkenaan transaksi itu.
“Jaffar kata ini mungkin kedudukan kasar yang diketahui oleh pihak kaunter yang diniagakan dengan BNM. Pihak kaunter tidak akan tahu kedudukan bersih BNM dan beliau berpandangan kedudukan bersih jauh lebih kurang.”
Zeti pernah bertugas sebagai setiausaha kepada Lembaga Pengarah BNM sebelum dipindahkan untuk mengetuai pejabat BNM di London pada 1989. Pada 1994, beliau dinaikkan pangkat kepada ketua pakar ekonomi di jabatan ekonomi bank pusat.
Katanya, beliau tahu mengenai keseluruhan kerugian forex dialami BNM antara 1988 dan 1994 pada Januari 1994, apabila ada “berita mengenai kebimbangan serius berkaitan pengurusan rizab bank pusat itu”.
Zeti berkata beliau pada masa itu masih bertugas di pejabat London.
“Saya kemudian menghubungi pegawai kanan di BNM untuk mengetahui apa yang berlaku dan dimaklumkan berlaku kerugian besar dalam aktiviti di pengurusan rizab.
“Pembabitan langsung saya yang pertama dalam pengurusan rizab ketika saya ditugaskan ke London di mana AS$200 juta diperuntukkan bagi tujuan pelaburan oleh pejabat di London.”
Pejabat di London mempunyai empat pedagang. Pada awalnya pejabat di London tidak menjalankan sebarang transaksi forex dan kemudian ia dibenarkan membuat pelaburan dalam instrumen dalam denominasi mata wang asing lain yang kemudian memerlukan transaksi tukaran asing bagi menyokong aktiviti pelaburan dan tidak mengambil kedudukan mata wang lain.
Selepas dua hingga tiga tahun, jumlah yang diperuntukkan untuk pejabat London dan New York dinaikkan dari AS$200 juta kepada AS$500 juta. Ia dikekalkan pada tahap itu hingga hari ini.
Zeti juga mendedahkan sebagai timbalan gabenor BNM pada 2007, beliau mengarahkan bekas pengurus akaun di BNM, Abdul Aziz Manaf, yang juga saksi pertama RCI, untuk menyediakan laporan berkenaan rawatan perakaunan untuk pengurusan rizab dari 1988 hingga 1994.
Laporan itu dikenali sebagai “Accountng Treatment of Losses Arising from Active Reserve Management 1988-1984” bertarikh 18 April, 2007.
Daripada laporan itu, Aziz membuat kesimpulan bank pusat itu mengalami kerugian bersih RM32.074 bilion dari 1988 hingga 1994, sementara merekodkan keuntungan bersih RM2.473 bilion pada 1990.
Laporan audit itu yang menjadi asas Aziz dalam dapatannya tidak didedahkan kepada umum, dilaporkan sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Katanya, BNM mengambil pelbagai langkah untuk mempelbagaikan komposisi rizabnya dan memperkenalkan lebih banyak “sistem pengurusan risiko lebih ketat”. – 6 September, 2017.
Komen