Kim, Trump mula bermesyuarat hari ini


Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un makan malam bersama, dengan hanya pegawai rapat mereka. – Gambar AFP, 28 Februari, 2019.

SELEPAS saling meraikan dan makan malam sosial Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mula bermesyuarat hari ini, dengan rundingan kemuncak rasmi bermatlamat untuk memecahkan kebuntuan berhubung program nuklear Pyongyang.

Dua pemimpin yang pernah saling hina menghina dan mengancam itu mengadakan pertemuan kedua dalam tempoh lapan bulan, dengan penganalisis memberi amaran ia perlu menghasilkan sesuatu lebih jelas berbanding pertemuan bersejarah kali pertama di Singapura.

Sidang kemuncak itu memberikan imej hubungan lebih baik tetapi hanya komitmen samar daripada Kim untuk bekerjasama ke arah menghentikan program nuklear di Korea.

Di Hanoi, kedua-duanya sekali lagi menunjukkan hubungan mesra, bertepuk tangan dan berkongsi jenaka ketika wartawan bertanya soalan.

Trump menyifatkan Kim sebagai “pemimpin hebat” dan berkata negaranya mempunyai potensi ekonomi yang luas, sukar dipercayai, tidak terhad ketika berjanji untuk “membantu” Korea Utara mencapai matlamat itu.

Kim pula nampak seperti begitu teruja untuk bertemu Trump lagi.

“Kami datang ke Hanoi untuk bertemu lagi, 261 hari kemudian,” katanya.

Pasangan itu kemudian makan malam bersama dengan hanya pegawai rapat dan sekali lagi tersenyum di depan kamera, dengan Trump berkata mereka ada “hubungan istimewa”. – AFP, 28 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen