TikTok langgar privasi kanak-kanak, didenda AS$5.7 juta


TikTok, aplikasi berasal dari China kini mendapat tempat di Amerika Syarikat, tetapi pelanggaran privasi kanak-kanak yang berlaku menyebabkan ia didenda. – Gambar wikipedia, 28 Februari, 2019.

RANGKAIAN perkongsian video milik China yang paling pantas berkembang masa kini bersetuju membayar AS$5.7 juta denda kepada pihak berkuasa AS bagi menyelesaikan pertuduhan mengutip maklumat peribadi daripada kanak-kanak, kata pegawai semalam.

Suruhanjaya Persaingan Perdagangan Persekutuan berkata penalti ke atas rangkaian sosial itu, yang dikenali sebagai Musical.ly, adalah siasatan kes pelanggaran privasi kanak-kanak terbesar pernah berlaku.

Rangkaian sosial itu yang semakin dikenali ramai dan digunakan ramai golongan muda, malah mengatasi penggunaan Facebook, Instagram dan Snapchat, gagal mendapatkan kebenaran ibu bapa untuk pengguna bawah umurnya seperti diperlukan Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak, kata pegawai.

“Pengendali Musical.ly- sekarang dikenali sebagai TikTok- tahu ramai kanak-kanak menggunakan applikasi itu, tetapi mereka masih gagal mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum mengutip nama, alamat email, dan maklumat peribadi lain daripada penggunannya bawah 13 tahun,” kata Pengerusi FTC Joe Simons.

“Penalti besar ini wajar menjadi amaran kepada perkhidmatan dan laman sesawang lain yang mensasarkan kanak-kanak. Kami serius dalam pelaksanaan COPPA, dan kami tidak akan bertolak ansur kepada syarikat yang sesuka hati melanggar undang-undang.”

TikTok mendakwa mempunyai 500 juta pengguna di seluruh dunia tahun lepas, menjadikan ia aplikasi paling terkenal di dunia.

Dimiliki ByteDance dari China, ia meluaskan pasaran ke AS dengan penggabungan bersama Musical.ly.

Ia menjadi tumpuan ramai golongan remaja, perkhidmatan itu membenarkan mereka mencipta dan berkongsi video 15 saat.

Menurut FTC, syarikat itu menghendaki pengguna memberikan alamat email, nombor telefon, nama pengguna, nama pertama dan terakhir, biografi pendek dan gambar profile.

Penyelia perlindungan pengguna berkata 65 juta akaun didaftarkan di Amerika Syarikat.

Pegawai berkata, syarikat itu mengetahui ramai penggunanya berusia 13 tahun dan wajar mengambil langkah pencegahan lebih ketat.

“Pada pandangan kami, amalan ini menggambarkan kesediaan syarikat untuk mengejar pertumbuhan walaupun membahayakan kanak-kanak,” kata kenyataan dikeluarkan Pesuruhjaya FTC Rohit Chopra dan Rebecca Kelly Slaugther.

“Agensi berjaya mendapatkan penalti sivil pecah rekod dan pemadaman data meragukan, serta pelbagai langkah lain untuk menghentikan tindakan tidak cekap ini.”

TikTok berdepan kritikan seluruh dunia kerana kandungannya seringkali tidak sesuai untuk kanak-kanak.

TikTok dalam satu kenyataan berkata ia akan membentuk “aplikasi pengalaman berasingan” kepada pengguna lebih muda dengan perlindungan privasi tambahan, salah satu langkah yang dipersetujui dalam penyelesaian bersama pihak berkuasa.

“Menjadi keutamaan kami untuk membentuk pengalaman yang menyeronokkan dan selamat untuk semua pengguna kami, dan ketika kami meluaskan pertumbuhan platfotm TikTok di peringkat global, kami juga komited untuk membentuk langkah seterusnya melindungi pengguna kami- termasuklah peranti kawalan ibu bapa untuk melindungi anak remaja mereka dan untuk pengguna membenarkan perlindungan keselamatan tambahan,” kata kenyataan itu. – AFP, 28 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen