Papagomo didakwa esok kes cederakan Syed Saddiq?


SM Amin

Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo berkata beliau akan didakwa mengikut Seksyen 323 dan 509 Kanun Keseksaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2019

EXCO Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo mendakwa beliau akan didakwa di Mahkamah Kajang esok kerana mendatangkan kecederaan terhadap Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Azri mendakwa pegawai penyiasat memberitahunya beliau akan didakwa mengikut Seksyen 323 dan 509 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan perbuatan yang mengaibkan.

“Saya akan dituduh esok di Mahkamah Kajang atas pertuduhan Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan) dan juga Seksyen 509 (mengaibkan) atas arahan dari pejabat Peguam Negara (AG).

“Saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa YB Menteri Syed Saddiq mengalami kecederaan soft injury pada tisu badannya dan atas sebab kecederaan serius itu saya dituduh,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Azri, beliau akur dengan dakwaan tersebut dan akan hadir di mahkamah esok bersama isteri dan penyokongnya.

“Saya sentiasa pegang prinsip berani kerana benar dan tidak ada apa yang saya takutkan dengan tuduhan yang dikenakan kepada saya esok kerana kepada Allah lah saya berserah akan perjalanan yang saya perlu hadap untuk hari-hari mendatang,” katanya.

Syed Saddiq minggu lalu membuat laporan polis mendakwa Azri telah mencekak lehernya selepas selesai penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid kemudiannya memaklumkan insiden tersebut bukannya serangan sebaliknya hanya salah faham.

Susulan daripada itu, Azri membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq Syed yang didakwa membuat laporan palsu terhadap dirinya. – 27 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen