PARTI berasaskan kaum patut dibubarkan jika Malaysia ingin bebas daripada isu perkauman, kata calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul.
Katanya, parti politik Malaysia berasaskan kaum menyebabkan isu berkenaan sering dimainkan terutama ketika pilihan raya untuk meraih sokongan pengundi.
“Kita kena mula membubarkan parti berasaskan perkauman.
“Isu ini wujud kerana ada parti jadikan modal mereka.
“Kerana ini tujuan parti ditubuhkan mereka dapat undi secara perkauman sebab itu kita tak selesai isu walau 60 tahun merdeka,” katanya dalam Wacana Sinar PRK Semenyih di Karangkraf Shah Alam.
Cadangan itu turut disokong oleh seorang lagi calon bebas Kuan Chee Heng yang berkata landskap politik baharu Malaysia patutnya tidak lagi terikat dengan isu perkauman.
Beliau berkata pengundi sepatutnya tidak lagi memilih wakil rakyat berdasarkan kaum tapi calon yang boleh memberi khidmat terbaik.
“Kalau kita pilih calon yang berasaskan perkauman kita akan dikongkong,” kata calon itu yang popular dengan nama jolokan Uncle Kentang.

Katanya, walaupun dianggap “gila” kerana bertanding di kawasan majoriti Melayu, beliau yakin akan diterima pengundi.
“Orang kata saya bodoh gila kenapa nak bertanding di kawasan Melayu. Tapi saya yakin inilah Malaysia. Saya yakin orang Melayu di Semenyih tidak rasis.
“Saya nak bagitahu saya kalah atau menang saya nak terima kasih kepada pengundi sebab bagi pelukan, salam dan kata-kata dorongan baik.
“Bagi saya inilah menunjukkan perpaduan Malaysia baru,” katanya.
Wacana tersebut sepatutnya turut dihadiri dua lagi calon PRK Semenyih iaitu Muhammad Aiman Zainali (PH) dan Zakariah Hanafi (BN), namun kedua-duanya memutuskan untuk tidak menyertainya.
Seorang lagi ahli panel, penganalisis politik, Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata isu perkauman tidak dapat ditolak dalam PRK Semenyih kerana parti berasaskan kaum berusahan meraih majoriti.
“Kenapa PRK Semenyih dianggap penting kerana pengundinya berubah pernah (menyokong) BN dan PH dan satu ketika ada undi PSM.
“Isu perkauman akan terus dimainkan sebab berbalik kepada jumlah majoriti untuk menyokong satu parti yang (kukuh).
Dalam konteks ini undi Melayu terpisah, Umno, PAS, PH.”
Bagaimanapun beliau berkata isu perkauman tidak menjadi perhatian pengundi muda di kawasan bandar.
“Kaca mata isu kaum agak kurang jelas untuk pengundi muda di bandar mereka sebenarnya tak peduli isu ini.
“Tapi kita tengok ia terus dimainkan kerana pastikan supaya orang Melayu solid sokong sesuatu parti.” – 27 Februari, 2019.
Komen