9 pekerja pembersihan maut ditembak lelaki bersenjata di Mogadishu


Tentera Amerika Syarikat berkata serangan udara baru-baru ini di tengah Somalia membunuh 35 militan al Shabaab. – Gambar AFP, 27 Februari, 2019.

SEMBILAN pekerja pembersihan maut akibat ditembak dipercayai dilakukan militan al Shabaab dalam kejadian di sebuah kampung berhampiran ibu kota Somalia, Mogadishu, menurut polis.

Kejadian pada Selasa itu berlaku selepas lelaki bersenjata menembak empat wanita dan lima lelaki dari kem pelarian di Hawab 19 kilometer barat laut Mogadishu di negeri Lower Shabelle.

Semua mangsa maut di tempat kejadian, kata pihak berkuasa.

Timbalan Gabenor Lower Shabelle, Ali Nur berkata, ketika kejadian mereka sedang membersihkan sampah dan secara tiba-tiba penyerang melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Sebaik pasukan keselamatan tiba ke lokasi kejadian, penyerang berjaya melarikan diri.” katanya.

Al Shabaab sering melakukan serangan di Mogadishu dan bahagian lain di Somalia yang menyasarkan pihak kerajaan serta pihak lain. 

Pada perkembangan lain, tentera Amerika Syarikat berkata serangan udara baru-baru ini di tengah Somalia membunuh 35 militan al Shabaab. – Bernama, 27 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen