Pompeo harap India, Pakistan tak cepat melatah


Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo berharap India dan Pakistan tidak cepat melatah, susulan tindakan jet India melancarkan serangan ke atas Kashmir yang dikuasai Pakistan. – Gambar EPA, 27 Februari, 2019.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo berharap India dan Pakistan tidak cepat melatah, susulan tindakan jet India melancarkan serangan ke atas Kashmir yang dikuasai Pakistan.

Dalam satu kenyataan dipetik agensi berita Anadolu pada Selasa, Pompeo telah bercakap dengan Menteri Luar India, Sushma Swaraj dan Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi berhubung perkara itu.

“Saya berharap kedua-dua pihak sentiasa berhubung dan mengelakkan sebarang langkah ketenteraan,” katanya. 

Jet India memasuki ruang udara Pakistan awal pagi tadi di tengah-tengah ketegangan, namun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku, kata jurucakap tentera Pakistan, Asif Ghafoor.

Bagaimanapun, India mendakwa pasukan tentera udaranya menyerang kem latihan Jaish-e-Mohammed di Balakot yang merupakan kem terbesar di Pakistan dan membunuh “beberapa pengganas”.

Ketegangan antara kedua negara bermula sejak 14 Februari lalu, apabila pengebom bunuh diri yang didakwa anggota Jaish-e-Mohammed menyerang konvoi tentera India, mengorbankan sekurang-kurangnya 44 separa tentera. 

Kejadian itu disifatkan serangan paling dahsyat ke atas tentera India di Jammu dan Kashmir dalam tempoh tiga dekad.

New Delhi menyalahkan Pakistan bertanggungjawab ke atas serangan itu namun Islamabad menafikannya. – Bernama, 27 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen