Saksi nampak kumpulan sedang pukul, tendang seseorang ketika rusuhan kuil


Timothy Achariam

Nassaruddin Abdullah, 22, berkata kumpulan itu berteriak dalam Bahasa tamil, tetapi beliau tidak nampak jika ada orang sedang dipukul ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Februari, 2019.

SEORANG saksi hari ini memberitahu Mahkamah Koroner beliau melihat sekumpulan 30 orang seperti sedang menumbuk dan menendang seseorang ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November tahun lalu.

Juruteknik dari Dengkil, Nassaruddin Abdullah, 22, berkata kumpulan itu berteriak dalam Bahasa tamil, tetapi beliau tidak nampak jika ada orang sedang dipukul.

“Saya nampak sekumpulan 30 orang membuat bulatan, menyumpah seranah dalam Bahasa Tamil dan saya tengok mereka seperti sedang memukul seseorang. Ia berlaku tak sampai seminit,” Nassaruddin memberitahu Koroner Rofiah Mohamad Mansor.

Menurut saksi itu, beliau nampak kumpulan itu mengelilingi kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dikatakan dinaiki anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Nassaruddin berkata beliau nampak sebuah trak bomba yang sedang mengundur berlanggar dengan kenderaan EMRS. 

Katanya, trak bomba itu mengundur kerana diserang perusuh dengan kayu, batu dan helmet.

“Kemudian saya nampak 20 hingga 30 orang India keliling van EMRS. Mereka berteriak ‘Berani kau masuk kuil’.

“Kemudian saya nampak sekumpulan orang membuat bulatan, seperti sedang menumbuk dan memijak atas seseorang, tetapi saya tak nampak kalau ada orang dalam bulatan itu.

“Tetapi saya yakin mereka sedang memijak dan menumbuk ke arah bawah,” kata Nassaruddin, saksi ke-17 dalam inkues bagi menyiasat kematian Adib.

Dalam kejadian yang berlaku tidak sampai seminit itu, seseorang memekik “Polis! Polis!” dan kumpulan itu terus melarikan diri, katanya.

“Saya tak nampak apa yang berlaku selepas mereka larikan diri. Saya terus cari kawan yang hilang dalma rusuhan itu.”

Nassaruddin berkata beliau menoleh ke belakang dan nampak beberapa orang memapah seorang lelaki yang tidak berbaju tetapi memakai seluar seragam bomba.

Apabila disoal jika mereka menggunakan sebarang senjata, Nassaruddin berkata beliau tidak nampak.

Nassaruddin memberitahu ada ternampak perusuh menyerang trak bomba dengan kayu, batu dan helmet, sama seperti dikatakan oleh saksi-saksi lain dalam inkues berkenaan. 

“Saya nampak sekumpulan orang memanjat ke atas trak bomba dan pukul cermin sisi - semasa itulah trak mengundur dan melanggar van EMRS,” katanya. – 27 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen