Arun Kasi pertahan kritikan ke atas afidavit Hamid Sultan


Bede Hong

PEGUAM Arun Kasi yang dirujuk Peguam Negara Tommy Thomas bagi kes menghina mahkamah menafikan kritikannya ke atas afidavit Hakim Hamid Sultan Abu Backer bersifat sedemikian.

Arun bertegas bahawa kritikan ke atas afidavit yang difailkan Hamid Sultan itu adil dan bukan satu penghinaan ke atas mahkamah.

“Saya agak terkejut. Saya pertahankan di sini, saya tidak melakukan apa-apa penghinaan. Ada beza di antara penghinaan dan kritikan yang adil,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Arun berkata beliau masih belum menerima sebarang dokumen prosiding menghina mahkamah dan hanya akan mengulas lanjut selepas menerimanya.

Beliau juga akan terus bersuara demi keadilan, katanya.

“Saya fikir setiap peguam harus membuat pendirian seperti itu, dan saya akan terus menyatakan pendirian, tanpa rasa takut atau memihak,” katanya.

Arun mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan permohonan prosiding menghina mahkamah yang difailkan Thomas ke atasnya.

Ia berhubung kenyataan Arun yang didakwa mengheret badan kehakiman ke kancah skandal melalui tulisannya berhubung afidavit Hamid.

Dalam afidavit tersebut Hamid mendakwa beberapa pegawai tertinggi kehakiman menolong pihak swasta menipu kerajaan.

Beliau juga mendakwa ada hakim terkemuka lain yang memihak kepada bekas kerajaan.

Afidavit yang dilihat The Malaysian Insight itu menyokong permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan ketua hakim gagal mempertahankan integriti dan kredibiliti badan kehakiman.

Pada Khamis lalu Putrajaya mengumumkan kerajaan akan membentuk RCI untuk menyiasat tuduhan Hamid.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata ia menyiasat dakwaan salah laku kehakiman tetapi tidak menyatakan sejauh mana siasatan itu akan dibuat. – 27 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen